Jangan salahkan Farizal  

Jangan salahkan Farizal  

Farizal Marlias
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: ‘Jangan salahkan Farizal’. 

Demikian kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengenai kritikan penyokong terhadap penjaga gol pasukan bola sepak kebangsaan, Farizal Marlias susulan kesilapan mudahnya yang menghadiahkan sepakan penalti pada perlawanan menentang Bahrain pada Sabtu lalu.

Katanya, kekalahan 1-2 pasukan negara kepada Bahrain dalam kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu lalu adalah adat perlawanan.

Katanya, diakui ramai yang rasa sedih dengan kekalahan itu tetapi tidak seharusnya menyalahkan orang lain seolah-olah diri sendiri terlalu sempurna.

“Dalam apa juga perlawanan atau sukan, tentu ada yang menang, ada yang kalah. Dalam permainan berpasukan, ada satu atau dua (pemain) melakukan kesilapan, ini semua adat permainan.

“Pada saya, Farizal banyak jasa kepada kita. Dia mendedikasikan hidupnya kepada sukan dan pada perlawanan tempoh hari. Tentunya dia tidak mahu gagal namun ia telah berlaku.

“Kita harap setiap kesilapan yang berlaku, kita belajar dan bukannya kita tuding jari sehingga merosakkan beliau sebagai atlet, kenang jasa beliau sebagai seorang pemain,” katanya.

Farizal menjadi topik utama dibincangkan warga media sosial susulan kesilapan mudahnya yang menghadiahkan sepakan penalti pada perlawanan menentang Bahrain Sabtu lalu.

Rata-rata netizen tidak berpuas hati dengan kesilapan yang dilakukan meskipun pasukan Harimau Malaya bermain baik sepanjang perlawanan namun kalah 1-2 kepada pasukan lawan. 

Jaringan sepakan penalti Bahrain pada penghujung permainan meranapkan impian Malaysia untuk sekurang-kurangnya mendapat satu mata dalam saingan Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023. 

AHMAD FAIZAL AZUMU

Farizal dikatakan tidak sepatutnya menjatuhkan penyerang lawan dalam kotak penalti untuk memenangi bola kerana penyerang lawan tidak berada dalam kedudukan yang selesa untuk menjaringkan gol. 

Ahmad Faizal berkata, persembahan pasukan negara ketika menentang Bahrain cukup bersemangat.

Katanya, namun faktor penyokong di stadium juga menyebabkan pemain hilang fokus dalam perlawanan tersebut.

“Selepas kita menjaringkan gol pertama, di luar padang ada kelibat beberapa pemain yang akan dimasukkan, antara Guilherme De Paula yang memanaskan badan untuk dimasukkan dalam permainan. 

“Pada ketika itu seluruh stadium bersorak, sejurus selepas sorakan itu, pemain telah hilang fokus menyebabkan kita terlepas gol.

“Jadi, kalau nak kata kita kalah disebabkan pemain seratus peratus pun saya rasa tidak juga. Sebagai orang yang berada di stadium, penyokong juga ada menyumbang kepada larinya fokus pemain pada ketika itu.

“Kalau saya pun di atas padang, pasti akan tertanya-tanya mengapa orang menjerit kepada saya, hilang fokus sikit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya