GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli termasuk pelajar dari lima buah kampung di Pos Bihai, di sini terdedah kepada bahaya apabila jambatan kayu yang menjadi ‘nadi’ kehidupan utama mereka kerap kali rosak.
Setiap kali hujan lebat, jambatan kayu itu mengalami kerosakan apabila struktur tiangnya bergoyang dan kayu tercabut akibat limpahan air sungai.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penghulu Kampung Sau, Alak Asu berkata, terbaharu jambatan tersebut kembali rosak tiga hari lalu akibat hujan lebat di kawasan hulu.
Menurutnya, sebelum kejadian penduduk kampung Orang Asli sudah dua kali bergotong-royong membaiki jambatan tersebut.
“Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Sau, Kampung Badak, Kampung Hak, Kampung Lalok dan Kampung Tameng.
“Sejak jambatan ini rosak, agak sukar untuk keluar ke bandar Gua Musang dan menghantar anak ke Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai,” katanya di sini semalam.
Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli, Hassan Busu, 55, berkata, jambatan kayu itu merupakan laluan utama penduduk di kawasan itu sejak berpuluh tahun lalu.
Katanya, masalah perhubungan penduduk Orang Asli boleh diatasi apabila jambatan lebih kukuh dapat dibina.
“Jambatan ini sepatutnya dapat dinaik taraf kerana menjadi laluan penting penduduk untuk ke bandar dan sekolah.
“Kami penduduk Orang Asli sedih apabila terpaksa bergadai nyawa setiap kali melalui jambatan kayu dengan menggunakan motosikal,” katanya. – UTUSAN