SHAH ALAM: Penganjuran festival perayaan Bon Odori yang disambut pada 16 Julai ini tetap diteruskan walaupun program tersebut merupakan aktiviti tradisi masyarakat Jepun yang beragama Buddha.
Festival tersebut disifatkan sama seperti perayaan bagi penganut agama lain di negara ini yang dianjurkan pada setiap tahun yang turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat bagi menyaksikannya.
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, JAIS tidak mempunyai halangan bagi festival Bon Odori diteruskan berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menitahkan tiada pendirian dan sekatan dibuat terhadap program tersebut.
“JAIS dititahkan tidak mengambil pendirian dan sikap menyekat program tersebut daripada terus dijalankan dan tidak akan menghalang mana-mana individu untuk menghadirinya.
“Baginda berpendirian, banyak budaya mempunyai kaitan dengan agama, tetapi semestinya agama ada di dalam budaya. Baginda juga bertegas bahawa mengamalkan sesuatu perkara adalah berbeza dengan perbuatan melihat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, Sultan Selangor juga tidak bimbang, jika akidah umat Islam kuat dan benar, ia akan mengetepikan sebarang iktikad dan amalan yang bertentangan dengan Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam agar tidak menghadiri majlis tersebut kerana terdapat unsur-unsur bertentangan dengan agama Islam.
Festival Bon Odori merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha yang mengandungi unsur pemujaan nenek moyang dan mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.
Bagaimanapun festival itu mendapat kritikan apabila poster hebahannya menggunakan karikatur seorang wanita bertudung dan disifatkan boleh menyebabkan kekeliruan dalam kalangan penduduk tempatan.
Dalam pada itu, Mohd. Shahzihan menjelaskan, bagaimanapun untuk bersikap adil, baginda menitahkan semua perkara diputuskan secara saksama dengan meminta pegawai daripada JAIS dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau perjalanan program itu.
“Untuk bersikap adil dalam membuat keputusan dan menentukan sesuatu kedudukan, ditambah dengan kehidupan bermasyarakat dan kepercayaan yang pelbagai di Negeri Selangor khususnya, baginda menitahkan semua perkara diputuskan dengan adil dan saksama.
“Baginda sendiri pernah hadir ke majlis tersebut beberapa tahun lalu dan tidak melihat sebarang perkara yang boleh merosakkan akidah umat Islam, melainkan ia satu program sosial pekerja-pekerja industri milik syarikat Jepun yang banyak di Negeri Selangor,” katanya. – UTUSAN