ALOR SETAR: Penceramah bebas, Muhd. Zainul Asri Mohd. Romli menghentikan semua kuliah agamanya sementara waktu susulan polemik kenyataan beliau berkaitan isu perpindahan roh atau reinkarnasi baru-baru ini.
Muhd. Zainul Asri membuat pengumuman itu secara langsung di Facebook miliknya hari ini yang sekali lagi turut melafazkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam ekoran isu berkenaan.
Difahamkan, Muhd. Zainul Asri mengadakan pertemuan dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) semalam.
Penceramah bebas dari Padang Terap itu berkata, beliau mengakui kelemahannya melafazkan semua kenyataannya yang dianggap terpesong termasuk isu perpindahan roh berkenaan dan sudah memohon keampunan daripada Allah SWT.
“Saya minta maaf dan juga ada lagi perkara-perkara lain yang saya bercakap, tak sesuai untuk orang awam, dan untuk orang berilmu sekalipun ucapan itu tak sesuai.
“Itulah kelemahan saya, dan saya menarik balik semua ucapan-ucapan saya hari itu. Saya minta ampun pada Allah dan saya minta maaf kepada semua masyarakat Malaysia di atas perkara-perkara yang tak sepatutnya saya ucapkan itu,” kata beliau dalam kuliah agama terakhirnya yang bersiaran langsung lebih satu jam itu.
Beliau juga berharap tindakannya menghentikan sementara semua kuliahnya itu dapat meredakan kemarahan semua pihak ekoran kenyataan beliau sebelum ini.
Berkaitan isu kemewahan beliau yang dipertikaikan netizen sebelum ini, beliau menganggap itu satu fitnah dan pembohongan ke atasnya.
“Tak patut macam tu. Kalau saya tak maafkan, habislah orang itu. Tapi saya ambil sikap, saya maafkan,” katanya.
Muhd. Zainul Asri mencetuskan polemik apabila membuat kenyataan berhubung perpindahan roh dari satu jasad ke satu jasad dalam kuliahnya baru-baru ini sekali gus mengundang reaksi daripada pelbagai pihak.
Minggu lepas, penceramah bebas berkenaan menarik balik kenyataan itu dan membuat permohonan maaf kepada semua umat Islam dan mengakui kekhilafannya itu. – UTUSAN