Isu bawa pulang PATI: Hanya di Semenanjung atau termasuk Sabah? 

Isu bawa pulang PATI: Hanya di Semenanjung atau termasuk Sabah? 

MOHD. AZIS JAMMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 200,000 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang telah dihantar pulang secara sukarela menerusi Program Rekalibrasi Pulang menimbulkan persoalan jika ia hanya melibatkan pendatang asing di Semenanjung dan bukan di Sabah. 

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin memaklumkan, seramai 243,297 PATI telah dihantar pulang secara sukarela menerusi program itu, sejak ia dilaksanakan pada Disember 2020 dan berakhir hujung bulan ini. 

Membangkitkan persoalan itu kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, ketika kerajaan Persekutuan membawa pulang pendatang asing secara sukarela, program sama pula tidak dilakukan di Sabah. 

Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) itu mendakwa, kerajaan sebaliknya melakukan proses ‘pemutihan’ terhadap PATI dengan membenarkan mereka memohon kad warga asing di pejabat-pejabat kerajaan setelah mereka memasuki negeri itu secara haram. 

Justeru, katanya, keadaan itu hanya menggalakkan lebih ramai PATI bolos ke negara ini dengan memiliki kad tersebut. 

“Apa tujuan program ini? Ia untuk menghalau orang asing yang masuk Malaysia secara haram. Kerajaan tidak tangkap mereka tetapi hantar mereka pulang. Tapi di Sabah ia terbalik. Pendatang asing malah diputihkan dengan memohon kad warga asing supaya mereka boleh bekerja di Sabah. 

“Apa rasionalnya pengeluaran kad warga asing di Sabah? Ini hanya menggalakkan lagi lebih ramai PATI masuk secara haram melalui lorong-lorong tikus kerana apabila PATI berkenaan sudah berada di Sabah, mereka hanya perlu memutihkan diri mereka dengan memohon pula kad warga asing,” katanya.

Pada Februari lalu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mempertimbangkan cadangan memberikan kad warga asing kepada rakyat tanpa kewarganegaraan di Sabah, sebagai satu bentuk pengenalan diri, namun bukan mengiktiraf mereka sebagai warganegara Malaysia.

Ia berperanan sebagai membantu kerajaan mengesan dan mengambil tindakan ke atas mana-mana individu dari golongan terbabit yang melakukan kesalahan undang-undang serta mengetahui keberadaan mereka di negeri itu. 

Bulan lepas, Hamzah berkata, pelaksanaan pengeluaran kad warga asing di Sabah memerlukan kehendak politik (political will) di antara semua pemimpin kerajaan dalam negeri ini.

Mengulas lanjut, Mohd. Azis berkata, kad warga asing berbeza dengan Pas Sementara Sabah (PSS) diperkenalkan kerajaan (semasa pentadbiran Pakatan Harapan) meskipun kedua-duanya mempunyai tujuan sama. 

Namun, katanya, PSS dikeluarkan kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci di Sabah, namun jumlahnya sebanyak 136,055.

Jelas beliau, mereka yang selebihnya (di luar konteks PSS) yang didapati masuk secara haram dan menggunakan dokumen palsu akan ditangkap dan dihantar pulang. 

“Persoalannya, mereka yang sebelum ini membantah pelaksanaan PSS dengan alasan kononnya menggalakkan lebih ramai PATI masuk ke Sabah secara haram, kini boleh pula menerima kad warga asing yang jelas lebih longgar berbanding PSS? 

“Kad warga asing bukan sahaja untuk membuat pendataan ke atas rakyat asing di Sabah, malah untuk memutihkan PATI yang masuk secara haram ke negeri ini. 

“Sebab itulah, penting untuk kerajaan menyatakan jumlah sasaran sebenar warga asing di Sabah bagi pengeluaran kad warga asing supaya mereka yang sebelum ini menolak PSS, dan kini menyokong kad warga asing, lebih faham tentang apa yang mereka persetujui,” katanya. 

Pada 6 September 2019, kerajaan mengumumkan melaksanakan PSS yang akan dikeluarkan kepada pemegang ketiga-tiga dokumen itu.

Namun, pada Januari 2020, bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal juga Presiden Warisan membatalkan pelaksanaannya selepas tewas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang memberi isyarat menolak pelaksanaan pas itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya