IPOH: Dakwaan kononnya kerja-kerja melombong mineral baharu lantanid di kawasan Hulu Perak dimulakan lebih setahun sebelum kerajaan meluluskan projek perlombongan itu, adalah tidak benar.
Sebaliknya, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad menegaskan, imej satelit yang dirakam sebagai bukti operasi perlombongan nadir bumi itu adalah struktur lama bagi kerja-kerja melombong bijih timah.
Katanya, aktiviti melombong bijih timah itu bagaimanapun pun dihentikan pada Januari tahun lalu berikutan penemuan lantanid.
“Struktur itu untuk projek terdahulu yang mana ada bijih timah. Walaupun sudah ada struktur yang dimulakan, kita tetap hentikan sehingga kita dapat prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan Kabinet, baru kita buka balik.
“Mereka pun tidak buat apa-apa selepas itu. Kita hentikan projek kerana apa-apa yang mahu dilakukan di negeri ini, perlu patuh kepada SOP yang ditetapkan dan barulah ia boleh diteruskan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Koperasi Negara peringkat negeri 2022, di sini semalam.
Saarani berkata demikian bagi mengulas laporan portal berita yang mendakwa kerja melombong mineral baharu di kawasan itu telah dimulakan susulan paparan imej satelit menunjukkan bukti operasi perlombongan sedang dijalankan di tapak berkenaan.
Mengulas lanjut Saarani berkata, kerja-kerja melombong mineral baharu di kawasan itu juga belum dimulakan kerana masih dalam peringkat permohonan kebenaran dan kelulusan pihak berkuasa.
Katanya, meksipun surat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar (EIA) telah diperolehi, masih terdapat beberapa SOP lain yang perlu dipatuhi termasuk Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) dan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk mendapatkan kebenaran merancang.
“Selepas EIA, kita kini di peringkat mohon kebenaran merancang daripada Majlis Daerah Gerik, apabila dikeluarkan nanti (kebenaran merancang), barulah boleh masuk. Kerja (prosedur) masih banyak lagi. Apa juga yang mahu kita lakukan di situ, kita perlulah patuh kepada SOP ditetapkan, barulah (kerja melombong) itu boleh diteruskan,” katanya. – UTUSAN