PUTRAJAYA: Ikan belacak atau dikenali ikan tembakul halal dimakan kerana ia dalam kategori haiwan air.
Itu penjelasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Al-Kafi yang dikeluarkan hari ini yang menyatakan, ikan belacak mempunyai ciri-ciri haiwan air yang hanya boleh bertahan untuk bernafas dalam keadaan lembapan dan habitatnya kebiasaan di kawasan berair mahupun lembab.
Justeru, katanya, ikan belacak dihukumkan haiwan air berdasarkan garis panduan fiqh mazhab Syafie.
“Bahkan, keupayaan untuk bernafas hanya berlaku semasa ikan belacak lembap dan berfungsi apabila habitatnya sentiasa berada di kawasan yang berair.
“Ikan belacak adalah ikan afimbia (dua alam), habitatnya di muara pasang surut dengan bersembunyi di bawah rumput laut basah atau dalam kolam pasang surut.
“Ikan belacak agak aktif semasa di luar air, makan dan berinteraksi sesama sendiri malah, tabiat ikan belacak bergerak dengan berkesan di daratan dan juga di air,” katanya.
Katanya, penentuan kategori haiwan air adalah apabila haiwan tersebut tidak boleh hidup melainkan di dalam air.
Bagaimanapun, katanya, sekiranya haiwan tersebut dua alam yang habitatnya di air dan di darat, maka penentuannya melihat kepada kawasan yang lebih lama boleh hidup dan bertahan. – UTUSAN