IPOH: Institut Agro Usahawan (iGROW) Kampung Gajah menawarkan kerjasama dengan kerajaan bagi mengadakan pelbagai latihan kemahiran pertanian sebagai usaha meningkatkan tenaga mahir dalam bidang sekuriti makanan yang dianggap kritikal sekarang.
Pengerusi Eksekutifnya, Nordin Abdul Malek berkata, Malaysia perlu memberi tumpuan kepada keperluan tenaga kerja mahir dan tenaga pakar dalam sektor makanan khususnya pertanian untuk memastikan rantaian ekosistem agromakanan terjamin supaya dapat mengurangkan kebergantungan sumber import dalam sektor tersebut.
Menurutnya, Malaysia juga perlu menyediakan tenaga kerja mahir yang mempunyai tahap pengetahuan dan kemahiran yang tinggi bagi menangani cabaran perubahan cuaca dunia yang memerlukan penguasaan pertanian secara saintifik dan teknikal.
Justeru, jelas beliau, iGROW berpandangan bahawa kerajaan perlu memberi tumpuan segera terhadap pembangunan pendidikan dan latihan kemahiran sumber manusia yang dilihat sangat kritikal pada hari ini dalam menentukan sekuriti makanan negara.
“Oleh itu, kami ingin mencadangkan beberapa langkah iaitu meningkatkan kapasiti latihan kemahiran pertanian terutama institut swasta yang berpengalaman luas seperti iGROW untuk menjalankan program peringkat Diploma Kemahiran Malaysia melalui kaedah Private Window secara Fast Track untuk mempercepatkan proses melahirkan tenaga mahir tersebut.
“Pada masa sama, kerajaan harus meningkatkan kemudahan di institut pengajian awam dan swasta dengan infrastruktur dan kelengkapan moden terkini yang menjalankan bidang sekuriti makanan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan harus menjalankan kempen secara agresif, progresif dan kreatif untuk menggalakkan penyertaan generasi muda dalam sektor pertanian dan industri makanan serta bekerjasama dengan institut swasta untuk menjalankan program keusahawanan berpakej jangka pendek bagi melahirkan usahawan tani terlatih.
Beliau juga mencadangkan kerajaan membangunkan model latihan pertanian komuniti yang dilihat mampu mengatasi masalah kebergantungan tenaga kerja asing dan penguasaan kartel.
Nordin turut menyarankan kerajaan memperkenalkan segera program pemupukan minat dan bakat kemahiran dalam bidang sekuriti makanan di peringkat pra-sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, sama ada dalam bentuk kurikulum atau ko-kurikulum.
Menurutnya, cadangan itu turut merangkumi penubuhan jawatankuasa kerja pembangunan latihan kemahiran sektor kritikal bidang pertanian dan perladangan yang diketuai oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.
“Kesemua langkah yang dinyatakan ini adalah sebahagian pelan jangka sederhana dan jangka panjang dalam menentukan rantaian ekosistem yang terjamin dan selamat untuk sekuriti makanan negara.
“Sebagai institusi berpengalaman luas dalam sekuriti makanan terutama latihan kemahiran sumber manusia serta pernah menjalinkan kerjasama menjayakan dasar berkaitan pertanian dengan kerajaan, iGROW bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi mencapai semua matlamat dinyatakan,” ujarnya. – UTUSAN