Hukuman mati mandatori wajar jika… - Utusan Malaysia

Hukuman mati mandatori wajar jika…

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
KEPUTUSAN kerajaan memansuhkan hukuman mati mengundang pelbagai pandangan termasuk daripada ahli keluarga mangsa pembunuhan.
Malah, ada juga segelintir pihak menyifatkan pemansuhan hukuman tersebut memberi kesan terhadap kadar peningkatan kes jenayah.
Susulan daripada itu, wartawan Mingguan Malaysia, MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI menemu bual bekas Peguam Negara, TAN SRI ABU TALIB othman bagi mendapatkan perspektifnya. Turut membantu, jurufoto, MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

MINGGUAN: Bagaimana Tan Sri melihat keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori?
ABU TALIB: Sama ada mandatori atau tidak, polisi kerajaan berdasarkan undang-undang. Bagi saya undang-undang mestilah demi kepentingan rakyat. Persoalannya adakah hukuman mati mandatori itu sebahagian daripada kepentingan awam ?
Daripada sudut agama, kalau orang dibunuh tanpa sebab dia juga perlu dibunuh. Dalam Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi. Apabila di mahkamah, paling penting perlu dibuktikan sama ada si pembunuh niat hendak bunuh atau sebaliknya. Mungkin pesalah yang didapati membunuh tanpa niat boleh dikenakan hukuman selain kesalahan dilakukan tadi misalnya.
Saya ambil contoh sebelum ini iaitu sesiapa yang didapati bersalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 berdepan hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, peruntukan itu telah dipinda pada 2017 untuk memberi kuasa budi bicara kepada mahkamah menggantikan hukuman mati dengan hukuman penjara sepanjang hayat dan sebatan tidak kurang 15 kali dalam beberapa keadaan tertentu.
Akan tetapi, semasa saya bertugas dulu, saya dapati mahkamah selalu memilih hukuman penjara walaupun ada kes tertentu yang pada pandangan kita adalah sesuai dan wajar hukuman mati dijatuhkan.
Contohnya jika dia ialah mastermind. Kesalahan dia sudah semestinya berat kerana memperoleh untung yang lebih besar dan mempergunakan kelemahan orang lain.
Bagaimanapun, kalau hukuman itu dijatuhkan ia tidak semestinya dilaksanakan. Ia ada proses tersendiri dan dibawa pada Lembaga Pengampunan dengan pertimbangan tertentu. Pihak hakim akan beri pandangan sama ada wajar atau tidak hukuman mati dilaksanakan.
Dalam Perlembagaan pun ada nyatakan bahawa Peguam Negara adalah ahli Lembaga Pengampunan dan pandangan dia hendaklah diambil kira. Jadi, ada semak dan imbang.
Tapi hukuman mati ini penting. Kalau buat salah membunuh, ia tidak akan beri nyawa semula.

PUNGUTAN SUARA
Adakah wajar kerajaan melaksanakan pungutan suara di peringkat nasional sebagaimana yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar?
Pertama, perlu diingat dan diambil kira pertimbangan, mangsa terdiri daripada ahli keluarga yang dibunuh. Mereka merasakan ia tidak adil kerana kehilangan orang tersayang tanpa sebab. Malah kalau diambil kira pertimbangan, mangsa sudah tentu tidak bersetuju mansuh hukuman mati mandatori.
Bagaimanapun, akan ada pihak lain dengan atas nama hak asasi manusia menggesa pemansuhan hukuman mati mandatori sebab mereka tidak kehilangan anak atau ahli keluarga angkara perbuatan pembunuh tadi.
Sebenarnya, pelbagai sudut kes perlu diambil kira dan bukan sekadar pungutan suara. Hakim pula diberi tanggungjawab bagi menentukan keadaan dengan bersandarkan kepada bukti-bukti kukuh.
Paling penting tugas hakim menentukan hukuman biarlah adil juga kepada tertuduh dan mangsa.

ADA MOTIF POLITIK?
Adakah sebenarnya keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati ini ada unsur politik ?
Sekarang orang politik menguasai kerajaan. Mereka melaksanakan tugas-tugas kerajaan. Jadi kepentingan politik perlu mengatasi segalanya. Tapi peliknya, keputusan sudah dibuat dan selepas itu mengapa mahu dikaji balik?
Sebab itu, saya kata sama ada mandatori atau tidak, polisi dibuat oleh siapa yang berkuasa. Seperti saya katakan, dalam al-Quran ada nyatakan mengenai perbuatan membunuh. Jelas. Mengapa tidak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad beri nasihat juga?
Wan Junaidi pun jangan hanya asyik bercakap sahaja. Tidak putus-putus bercakap. Tindakan?

Kalau keputusan pemansuhan hukuman mati diteruskan, apakah hukuman alternatif yang perlu dikenakan dan dilihat setimpal?
Ada dua sahaja. Kalau dimansuhkan, hukuman alternatifnya adalah penjara. Macam rompakan bersenjata, hukumannya adalah penjara dan sebat. Begitu juga dengan pecah amanah. Jadi, ini alternatifnya.

Apakah pandangan Tan Sri terhadap kes yang telah dijatuhi hukuman, kes dalam siasatan dan kes melibatkan pengampunan?
Oleh kerana undang-undang tiada back dated dan mereka didapati bersalah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa pada masa itu.
Pembuat undang-undang perlu bawa pesalah hukuman mati kepada Lembaga Pengampunan dan gantikan hukuman dengan penjara seumur hidup.

KES BERTAMBAH
Adakah pemansuhan hukuman mati menjadikan faktor pertambahan kes jenayah?
Saya selalu berpendirian jika seseorang itu penjenayah, apa sahaja yang orang cakap pun tidak peduli dengan hukuman. Mereka tetap akan buat (jenayah).
Saya masih ingat dahulu, ketika kes dadah meningkat, hukuman mati diperkenalkan dalam pindaan 1983.
Selepas itu, kerajaan tidak bersedia untuk menjatuhkan hukuman mati pada semua dan sekali lagi dipinda pada 2017. Keadaan sama sahaja. Tidak berubah. Paling sedih, sampai hari ini pun ada lagi kes dadah sampai sudah ada yang berani bercucuk tanam ganja.
Itu sebab saya cakap selain bunuh, adalah sangat wajar dan adil agar ada alternatif hukuman lain. Hanya kes untuk bunuh pada pandangan saya sesuai dikenakan hukuman mati mandatori.
Kalau digantikan dengan hukuman penjara untuk kesalahan membunuh tanpa niat, perlu ada peruntukan undang-undang tertentu.
Akan tetapi dalam masa sama kita juga perlu ingat, hukuman penjara sepanjang hayat sebenarnya lebih teruk daripada hukuman mati. Ia melanggar hak asasi kemanusiaan. Yang ini kerajaan perlu pertimbangkanlah juga untuk mengkaji dan meminda.
Kalau pinda undang-undang, kerajaan tidak boleh lihat pada satu undang-undang itu sahaja. Ia perlu dilihat secara keseluruhan. Lihat mengapa pula ia dipinda. Itu tugas Peguam Negara.
Kalau kata tiada penjara sepanjang hayat, gantikan dengan penjara 20 atau 30 tahun sahaja. Hukuman yang dikenakan perlulah sesuai dengan keadaan semasa atau berdasarkan kes-kes tertentu.

Adakah Tan Sri ada mencuba untuk berjumpa dengan Wan Junaidi bagi menyatakan bantahan atau cadangan berkenaan hukuman mati mandatori?
Tidak. Saya sekarang hanyalah orang biasa tanpa ada maksud atau apa-apa matlamat di sebalik pendirian tegas saya.

Adakah perlu pewujudan prosedur pra-penghukuman, penubuhan Majlis Penghukuman, dan pembangunan garis panduan penghukuman?
Persoalan yang perlu dijawab kerajaan sekarang adalah setuju atau tidak hapuskan hukuman mati? Itu sahaja. Lagi banyak penubuhan jawatankuasa atau apa jua cadangan, lagi kelam kabut jadinya. Lagipun, keputusan sudah dibuat, apa lagi yang mahu dikaji atau tubuhkan segala macam cadangan?
Pada saya mudah. Jika tidak libatkan kehilangan nyawa, tidak adil untuk memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Jika ada jawatankuasa atau pelbagai lagi majlis dan meletakkan sesiapa sahaja dari pertubuhan hak kemanusiaan lagi susah. Polisi mereka banyak ikut Amerika Syarikat (AS). Masalahnya adakah sekarang kes-kes lain menepati atau selaras dengan prinsip hak asasi kemanusiaan?
Kita adalah sebuah negara demokrasi berdaulat serta mampu berdiri sendiri. Kerajaan perlu beri apa yang terbaik untuk rakyat. Bukan ikut telunjuk hak asasi kemanusiaan semata-mata.
Pelbagai sudut perlu diambil kira. Hak asasi kemanusiaan kata hukuman mati kejam. Tapi tidakkah kejam melepaskan pembunuh dengan hanya penjara. Walhal dia yang memang sengaja untuk membunuh dan mahu ambil nyawa orang tidak bersalah?

Pembunuhan terancang jangan beri peluang kedua

LEBIH 10 tahun kes pembunuhan ahli perniagaan Datuk Sosilawati Lawiya berlaku pada September 2010 melalui proses perbicaraan yang mengambil masa bertahun. Tiga dalang yang terlibat dalam kes pembunuhan kemudiannya dijatuhi hukuman mati mandatori pada 2017.
Bagaimanapun keputusan kerajaan untuk memansuhkan hukuman tersebut mengejutkan anak sulung arwah Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari.
Kepada wartawan Mingguan Malaysia, dia meluahkan pandangannya dengan keputusan yang dinyatakan kerajaan sebelum ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Apabila anda mengetahui bawah hukuman mati mandatori akan dihapuskan apakah perkara yang terfikir pada saat itu?

ERNI DEKRITAWATI :Saya terkejut sewaktu mendengar mengenai pengumuman ini. Masa itu apa yang ada dalam fikiran saya pasti banyak lagi kes jenayah akan berlaku. Dalam erti kata lain meningkat. Ini kerana hukuman yang diberikan bagi perbuatan terancang adalah tidak setimpal.

Selepas lebih 10 tahun kes pembunuhan melibatkan arwah ibu. Sekiranya pesalah dijatuhkan apa-apa hukuman, adakah anda memaafkan pesalah tersebut?
Cuba awak bayangkan jika apa yang terjadi kepada arwah ibu saya terjadi kepada awak atau orang lain. Adakah awak akan memaafkan penjenayah itu?
Saya fikir semestinya jawapan yang akan awak katakan ‘tidak’ bukan? Sudah semestinya ‘tidak’.
Apabila ibu saya dibunuh ia sangat pedih lebih-lebih lagi kehilangan orang yang tersayang akibat jenayah. Ini lah perasaan saya walaupun pada awalnya saya sendiri bagaikan tidak percaya ia terjadi pada diri saya.

Adakah anda akan cuba untuk bertemu dengan mana-mana pemimpin bagi memastikan keputusan kerajaan untuk menghapuskan hukuman mati mandatori ditarik balik?
Buat masa sekarang, saya percaya dan yakin kerajaan sudah pasti telah membuat pertimbangan yang sebaiknya berkaitan cadangan pemansuhan itu.
Cuma apa yang boleh saya katakan, jenayah dengan niat dan terancang ini tidak boleh dipandang ringan oleh pihak berkuasa dan kerajaaan.

Adakah anda pernah melancarkan petisyen daripada orang ramai untuk pastikan keputusan kerajaan memansuhkan hukuman mati ditarik balik ?
Saya pernah melancar satu petisyen pada 2019 bersama-sama dengan keluarga mangsa kes pembunuhan yang terancang. Dan, ketika itu ramai bersetuju dengan saya agar keputusan untuk memansuhkan hukuman mati ditarik balik oleh kerajaan.

Apakah harapan anda terhadap kerajaan selepas pengumuman yang dibuat kerajaan sebelum ini?
Saya berharap agar pihak Kerajaan dapat meneliti balik pemansuhan hukuman mati mandatori ini dan perlu menyatakan dengan jelas pemansuhan itu untuk kes apa dan dalam keadaan bagaimana.
Perkara ini juga perlu dijelaskan pada rakyat kes atau pesalah bagaimana yang mana perlu diberikan peluang kedua. Ini penting supaya rakyat tidak terkeliru dengan pengumuman yang telah dibuat. Namun demikian, bagi saya kes pembunuhan terancang dan berniat tidak wajar diberikan peluang kedua.

Boleh ceritakan bagaimana sedih dan peritnya di saat mula-mula diberitakan arwah ibu anda meninggal dunia ?
Bayangkan kalau ibu kita sendiri meninggal dunia. Dalam keadaan macam mana sekalipun pasti sedih termasuk jika berada dalam keadaan sakit.
Inikan pula saya yang kehilangan ibu yang dibunuh dengan kejam dan jasadnya dilupuskan. Semua orang hanya ada satu ibu dan saya hilang tempat bergantung pada usia yang sangat muda secara tiba-tiba.
Perasaan hiba dan sedih yang saya tanggung dan lalui itu tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya