Hobi kumpul pokok eksotik jana pendapatan - Utusan Malaysia

Hobi kumpul pokok eksotik jana pendapatan

AHMAD Tarmizi Dollah Ahmad (kanan) bersama isterinya melihat pisang seribu yang ditanam di hadapan rumahnya di Taman Damar, Gua Musang, Kelantan. - AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Hobi seorang pesara tentera mengumpul dan menanam pokok eksotik bertukar menjadi pendapatan tambahan buat dirinya apabila benih tanaman itu menjadi permintaan orang ramai.

Ahmad Tarmizi Dollah Ahmad, 55, yang tinggal di Taman Damar di sini, kini tidak menang tangan selepas lebih 30 spesies benih pokok eksotik yang sukar didapati mendapat permintaan tinggi.

Antara benih pokok eksotik itu ialah pokok pisang seribu, tebu pelangi, tebu gading, kunyit bunian, jambu strawberi, kantan malerus, pokok matoa, delima bonsai, kemoyang merah dan ubi betik atau pokok cahaya.

Menurut Ahmad Tarmizi, pokok pisang seribu antara benih yang sering menjadi pilihan orang ramai.

Katanya, dia tidak menyangka pokok pisang seribu yang kebiasaannya tumbuh meliar dalam hutan dan banyak terdapat di negara Indonesia kini hidup subur di hadapan halaman rumahnya.

“Benih pisang seribu diberikan oleh seorang penduduk kampung kepada saya dan kini benih pisang seribu yang unik itu semakin tumbuh membiak.

“Saya menanam pisang seribu secara suka-suka sebagai pokok hiasan, namun selepas sembilan bulan ditanam akhirnya pokok pisang itu berbuah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Ahmad Tarmizi berkata, dia menjual satu anak benih pisang seribu pada harga RM25.

Katanya, kebiasaannya orang luar atau jiran datang ke rumahnya untuk merakam gambar buah pisang berbuah lebih 1, 000 biji dan sepanjang 3.4 meter itu kerana keunikannya serta pelik.

Sementara itu, isterinya, Mahzan Che Husin, 45, berkata, dia sentiasa menyokong minat suaminya.

Katanya, dia bersyukur apabila hobi suami bertukar menjadi duit bagi menampung hidup ahli keluarganya.

“Saya selalu mengawasi tanaman dan menemani suami untuk menghantar benih kepada pelanggan.

“Orang ramai yang berminat dengan benih tanaman eksotik boleh mengikuti laman sosial Facebook suami saya iaitu ‘Mizi Medic’,” katanya. –UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya