Hidupkan budaya sastera seperti dahulu

Hidupkan budaya sastera seperti dahulu

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sasterawan Negara menyifatkan cabaran lapangan sastera Melayu sangat banyak dan perlu dihidupkan budaya sastera seperti dahulu yang rancak bagi menarik minat orang muda.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Datuk Rahman Shaari berkata, era 60-an hingga 80-an adalah zaman di mana sastera dipandang sebagai satu unsur seni yang digemari pelbagai peringkat masyarakat.

“Begitu juga dengan kritikan sastera. Sekarang kritikan ini kurang dibuat kerana dikhuatiri menyinggung perasaan beberapa pihak terutama karyawan lain.

“Jika pengarang itu tidak maju akan ditunjukkan oleh pengkritik bahagian apa kelemahan karya yang dibuat. Namun sekarang ia tidak bekembang pesat kerana takut menyinggung perasaan pengkarya,” katanya dalam sesi wawancara di Wisma Dewan Bahasa Pustaka, dekat sini.

Menurut Rahman, soal hala tuju yang dibawa oleh beliau adalah dengan memberikan penekanan yang tinggi tentang karya sastera berimpak tinggi agar masyarakat dapat mendalami seni budaya itu.

“Sebagai contoh karya puisi, jangan buat karya dalam jumlah yang banyak tetapi kurang pembaca dan penyampaiannya lemah. Kita fokus kepada karya berimpak tinggi, biar kurang tetapi beri impak kepada pembaca, ini adalah hala tuju yang akan saya bawa.

“Saya memang terlatih soal tatabahasa dan sastera, dalam tatabahasa saya memang tekankan dalam mana-mana bengkel kerana ini mampu memberi kesan kepada pembaca. Ini juga penting buat pengkarya yang membuat karya seni mereka,” katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan beliau yang merupakan penyair terkemuka tanah air, diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-15 daripada 12 calon yang disenarai pendek.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemilihan tokoh dibuat berdasarkan sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran, pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera, impak di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang telah diterima.

Sasterawan Negara itu turut meluahkan pandangannya tentang anak muda yang berjinak-jinak mendalami ilmu sastera boleh bermula dengan membaca karya yang baik penulisannya dan mengelak karya salah tatabahasa.

“Tidak perlu baca karya pengarang yang melanggar tatabahasa agar cepat popular, penjagaan tatabahasa penting dalam karya, bahasa baharu seperti ‘korang’, ia boleh digunakan secara bersama dan jangan dijadikan sebagai karya.

“Ia akan mengubah pandangan umum dan mengatakan bahasa itu bagus, bukan nak menghalang untuk menghasilkan karya, bagi meninggikan ilmu sastera masyarakat fikirlah karya yang mantap dari sudut tata bahasa dan gaya bahasa,” katanya.

RAHMAN SHAARI

Sehubungan itu, Rahman menjelaskan masih ada golongan muda minat sastera namun cabaran menarik minat golongan muda yang ramai memerlukan saingan terhadap industri baHAru yang wujud pada masa ini.

“Anak muda ramai bersedia untuk maju dalam industri sastera, penulisan dan sebagainya. Namun ada yang tidak mendekati sastera dan tidak baca karya pengarang-pengarang penting, menjadi punca mereka jauh daripada seni budaya ini.

“Jadi mungkin keadaan masyarakat sekarang lebih berminat terhadap ruang seperti televisyen, telefon bimbit dan bermain motosikal menjadi jawapan mengapa mereka jauh dariapada sastera,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya