Hasil durian Perak menurun 50 peratus

Hasil durian Perak menurun 50 peratus

AHLI Parlimen Parit, Datuk Mohd. Nizar Zakaria (dua dari kiri) menyerahkan anak pokok kepada wakil petani sambil diperhati Norsiyenti Othman (kiri) pada Program Kempen Amalan IPM di Parit, Perak, hari ini. - FOTO/MOHAMAD HAFIZI MOHD. SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Faktor cuaca dan kekurangan tenaga kerja asing menyebabkan hasil durian di Perak menurun sehingga 50 peratus bagi musim ini yang bermula hujung bulan lalu.

Pengarah Jabatan Pertanian Perak, Norsiyenti Othman berkata, penurunan berkenaan turut menyebabkan berlaku kenaikkan harga durian pada musim ini di Perak.

Menurut beliau, tinjauan Jabatan Pertanian Perak bermula Januari hingga Mac awal tahun ini menunjukkan tanda-tanda berlakunya kekurangan raja buah selepas berlakunya perubahan iklim ketika itu.

“Semasa tinjauan pada bulan Januari hingga Mac, banyak bunga dan putik gugur akibat angin, ribut dan hujan dalam tempoh tiga bulan dan kesannya dapat dilihat sekarang buah durian di negeri ini berkurangan berbanding tahun lepas.

“Sepatutnya Januari sehingga Mac merupakan musim panas yang mana raja buah itu memerlukan cuaca panas untuk berbunga dan berbuah, tetapi sebaliknya terjadi apabila berlaku hujan dan ribut,” katanya kepada pemberita pada Program Kempen Amalan IPM (Integrated Pest Management/Kawalan Perosak Tanaman Bersepadu) di Parit 2, Layang-Layang Kiri, di sini hari ini.

Norsiyenti berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini turut meninggalkan kesan apabila pekebun tidak mempunyai pekerja di ladang dan kerja-kerja penyelenggaraan dan penjagaan pokok durian terganggu.

Untuk rekod, tahun lalu Perak mencatat pengeluaran durian sebanyak 36,223.9 tan metrik membabitkan keluasan 5,498.5 hektar dan merupakan negeri ke empat tertinggi bagi pengeluaran durian dalam negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya