Harga ubat naik antara lima ke tujuh peratus - Utusan Malaysia

Harga ubat naik antara lima ke tujuh peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga ubat-ubatan untuk bekalan dalam negara dijangka meningkat antara lima ke tujuh peratus tahun ini berdasarkan faktor semasa.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Duopharma Biotech Berhad (Duopharma Biotech), Wan Amir Jeffery Wan Abdul Majid berkata, antara faktor penyumbang kepada kenaikan tersebut termasuk kenaikan harga bahan mentah yang diimport bagi penghasilan ubat-ubatan.

Selain itu katanya, ketidakstabilan ringgit serta peningkatan kos logistik turut menyumbang peningkatan harga ubat.

“Harga bahan mentah sebenarnya telah naik sejak tahun 2020 lagi. Akan tetapi situasi semasa pasaran tidak membenarkan pelarasan harga.

“Syarikat lain pun tidak naikkan harga. Kalau kita naikkan harga pasti pengguna cari alternatif yang lain. Namun, sekarang kita terpaksa menaikkan harga tersebut berdasarkan faktor yang dinyatakan,” katanya dalam Simposium Halal Farmaseutikal 2022, semalam.

Menurut Wan Amir Jeffery, beliau berharap ada pihak yang berusaha menstabilkan peningkatan harga bahan mentah ubat-ubatan bagi mengelakkan kenaikan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Mengulas mengenai bekalan ubat-ubatan sedia ada, beliau berkata, syarikat berkenaan mempunyai simpanan bekalan mentah yang mampu menampung pengeluaran ubat-ubatan bagi tempoh tiga hingga empat bulan.

Dalam perkembangan lain, Wan Amir Jeffery berkata, pihaknya telah membelanjakan sebanyak RM400 juta bagi tempoh 2016 sehingga 2023 bagi menaik taraf segala kemudahan pengeluaran dan pembangunan.

Menurutnya, proses tersebut melibatkan bangunan di Klang, Glenmarie dan Bangi dengan 95 peratus daripadanya telah siap.

“Bagaimanapun untuk peralatan masih belum dilengkapi. Bangunan ini akan jadi tempat bagi pengeluaran produk biosimilar.

“Paling penting kemudahan ini boleh digunakan sebagai tempat pembangunan vaksin sekiranya berlaku pandemik,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya