HULU TERENGGANU: Harga sayur-sayuran yang melambung di pasaran dijangka kembali stabil bermula bulan depan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, jaminan itu hasil maklum balas pihak pekebun yang menyatakan situasi akan pulih semula selewat-lewatnya pada awal bulan.
Katanya, kenaikan harga pada masa ini difahamkan kerana masalah kekurangan bekalan akibat perubahan cuaca di samping faktor penyakit dan isu buruh asing.
“Kita menerima laporan berhubung kenaikan harga sayur dan berdasarkan pengalaman, kos itu biasanya naik dalam tempoh satu atau dua bulan sebelum turun mendadak.
“Bagaimanapun, kita kita masih memantau keadaan ini dan pengguna diminta tidak bimbang,” katanya ketika memantau program Jualan Kedai Prihatin di pekarangan Masjid Kampung Gaung, Kuala Berang di sini hari ini.
Baru-baru ini, akhbar melaporkan peniaga sayur di beberapa negeri seperti Melaka dan Pulau Pinang mengeluh harga sayur termasuk sawi naik mendadak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri, bulan lalu.
Dalam perkembangan lain, Rosol berkata, kementeriannya akan mengaktifkan semula program Jualan Kedai Prihatin yang terhenti kira-kira tiga bulan lalu.
Katanya, program Jualan Kedai Prihatin yang menawarkan barangan pada harga lebih murah daripada pasaran itu merupakan alternatif kepada Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang dijadual berakhir bulan ini. – UTUSAN