GEORGETOWN: Hanya industri berteraskan teknologi tinggi berada kawasan taman industri baharu, Taman Teknologi Pulau Pinang di tapak seluas 339 hektar yang terletak di Jalan Tun Hamdan Sheikh Tahir, di Bertam, dekat sini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, walaupun Taman Teknologi Pulau Pinang itu dibangunkan pemaju swasta, kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Invest Penang sentiasa bekerjasama dan memberi khidmat nasihat kepada pihak pemaju mengenai pelaburan asing di kawasan berkenaan.
”Taman industri baharu ini melibatkan sektor industri teknologi tinggi seperti di kawasan Batu Kawan yang mana kebanyakan syarikat pelabur adalah syarikat berteknologi tinggi seperti bidang semi-konduktor, industri aeroangkasa, barangan pembuatan perubatan dan lain-lain.
”Kerajaan negeri juga difahamkan pemaju telah mendapatkan komitmen daripada Kementerian Kewangan dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berhubung tawaran insentif kepada syarikat dan pelabur asing yang bakal melabur di situ,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican meminta kerajaan negeri Pulau Pinang memberikan maklumat berhubung sektor industri yang akan berada kawasan Taman Teknologi Pulau Pinang itu.
Sebelum ini, penduduk di 10 taman perumahan berhampiran projek tersebut mengadakan bantahan aman bagi menolak cadangan Pembangunan Kuarters (Penginapan) Pekerja Berpusat (CLQ) di situ yang akan menempatkan ribuan pekerja asing dan mencadangkan pembinaan itu dipindahkan ke kawasan Ara Kuda, Tasek Gelugor, tidak jauh dari situ.
Kawasan projek itu dikelilingi oleh taman perumahan iaitu hampir 7,800 unit rumah sekali gus memberi pelbagai kesan kepada penduduk antaranya masalah sosial dan kesihatan berbanding di Ara Kuda yang tidak padat dengan penduduk.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, pembangunan taman industri baharu itu adalah di tanah seluas 324 hektar yang telah dizonkan sebagai tanah industri sejak 2004 dan hanya mula dibangunkan pada tahun ini oleh pemaju swasta.
”Pembangunan taman industri baharu ini dapat mengimbangi kemajuan industri di kawasan Seberang Perai dan pulau serta menjadikan kawasan Seberang Perai Utara (SPU) sebagai satu kawasan industri berteraskan teknologi tinggi.
”Fasa pertama pembangunan iaitu penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, kawasan perparitan, bekalan air dan elektrik untuk kegunaan pelabur dijangka siap hujung tahun ini, manakala fasa kedua melibatkan pembangunan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) akan mula dilaksanakan selepas fasa pertama siap,” katanya.
Dalam pada itu tambah beliau, pembangunan CLQ di kawasan taman industri baharu itu merupakan antara keperluan yang perlu disediakan kepada pekerja sama ada pekerja asing atau tempatan di kawasan industri. – UTUSAN