ISKANDAR PUTERI: Hanya 10 daripada 213 buah sekolah tahfiz yang beroperasi di negeri ini belum memohon untuk didaftarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd. Fared Mohd. Khalid berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 124 buah sekolah tahfiz telah didaftarkan dan beroperasi dengan tauliah di Johor.
Katanya, sebanyak 79 buah sekolah tahfiz masih dalam proses pendaftaran dan belum mendapat kelulusan daripada Bahagian Pendidikan Islam, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).
“Pengemaskinian data ini adalah hasil daripada proses pemutihan yang telah dilaksanakan bermula 2017 lagi. JAINJ sentiasa menyantuni pihak pentadbiran sekolah-sekolah tahfiz dalam proses mendaftarkan sekolah mereka.
“Kerjasama yang diperoleh daripada pihak sekolah tahfiz ini amat baik, bahkan mereka sentiasa mematuhi syarat dan ketetapan yang telahpun digariskan,” katanya ketika diminta mengulas banyak sekolah yang tidak berdaftar di negara ini.
Mohd. Fared yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah ditemui selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pusat tahfiz di negara ini perlu ‘diputihkan’ dengan memastikan kira-kira 1,000 pusat pengajian itu yang belum berdaftar berbuat demikian demi kebajikan pelajar terbela dan tidak dieksploitasi.
Usaha itu bagi melindungi seramai 63,168 pelajar dan 8,484 guru di 1,208 institusi tahfiz yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) daripada terkena tempias negatif ekoran masalah yang berlaku di pusat pengajian.
Mengulas lanjut, Mohd. Fared berkata, antara syarat yang perlu dipatuhi ialah pentauliahan mengajar yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Tauliah, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Selain itu, institusi tahfiz juga perlu mendapatkan Perakuan Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba, Surat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan, Perakuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan lain lain lagi.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha dalam melahirkan lebih ramai golongan hafiz dan hafizah di negeri ini.
“Bahkan kerajaan negeri telahpun menjalankan usaha agar para pelajar tahfiz ini bukan sahaja berjaya menghafaz al-Quran dan ilmu agama semata-mata, malah mereka perlu mendapatkan pendidikan formal terutamanya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mempersiapkan diri mereka menjadi huffaz yang berpendidikan dan profesional,” jelasnya. – UTUSAN