Hamid Gurkha pembaca setia Utusan Malaysia

Hamid Gurkha pembaca setia Utusan Malaysia

JENAZAH Allahyarham Hamid Gurkha disolatkan ratusan jemaah di Masjid Kota Raja sebelum majlis pengebumiannya disempurnakan di lokasi sama di Klang, Selangor. - UTUSAN / MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Pelakon dan pelawak, Allahyarham Hamid Gurkha adalah pembaca setia akhbar Utusan Malaysia sejak 30 tahun lalu dan sering kali meminta anaknya membelikannya setiap hari.

Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Hamid membaca setiap helaian berita yang dilaporkan termasuk segmen ekonomi.

Anak bongsu arwah, Nor Ashita Abdul Hamid, 47, berkata, Allahyarham pernah memberitahu kandungan berita Utusan Malaysia menarik dibaca dan menghabiskan kurang sejam untuk menghabiskan senaskhah akhbar.

“Arwah sentiasa minta anak-anak membeli akhbar tersebut sekiranya mereka ke kedai. Selepas membacanya, arwah menceritakan berita-berita menarik yang dilaporkan dalam akhbar pada hari tersebut.

“Kadangkala, arwah membincangkan beberapa laporan berita yang dirasakan menarik Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia tak baca Utusan Malaysia kerana sudah tak larat,” katanya ketika ditemui di Masjid Kota Raja, semalam.

Hamid Gurkha atau nama sebenarnya Abdul Hamid Abdul Rahman, 90, menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 2.19 petang ketika mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, kelmarin.

Berita tersebut dikongsikan Nor Ashita yang merupakan anak bongsu arwah memberitahu bapanya itu menghidapi penyakit tibi dan beberapa komplikasi kesihatan lain serta terlantar atas katil sejak Aidilfitri lalu selepas dijangkiti Covid-19 sekitar Februari tahun ini.

Dalam pada itu, dia turut memaklumkan seluruh ahli keluarganya reda dengan pemergian Allahyarham walaupun terkilan tidak dapat menemukan bapanya itu pada akhir hayatnya.

“Ayah dimasukkan ke HTAR tiga minggu lalu selepas mengadu susah untuk bernafas. Sejak muda arwah tak suka ke hospital, tetapi kali ini, dia minta saya bawanya ke HTAR.

Kata doktor, jantung ayah berhenti meskipun telah diberikan alat sokongan pernafasan, sepanjang dia menerima rawatan di HTAR. Memang agak ralat buat saya serta ahli keluarga lain kerana tidak ada di sampingnya semasa dia menghembuskan nafas terakhir,” luahnya.

Jenazah Allahyarham Hamid Gurkha diiringi ratusan orang yang terdiri daripada ahli keluarga, saudara-mara dan peminat yang memberikan penghormatan terakhir sebelum pengembumiannya disempurnakan kira-kira pukul 9.45 malam.

Dalam hayatnya, beliau berkongsi hidup dengan isterinya, Timah Abdul Hamid, 80, sejak April 1957 dan dikurniakan lapan cahaya mata, 32 cucu dan 18 cicit.

Hamid Gurkha mengecap popularitinya pada tahun 1978 menerusi filem Panglima Badol.

Malah allahyarham terus dikenali umum dengan gelagat lawak adegan bas mini serta lumba sampan dalam longkang yang dilakonkannya bersama Dharma Harun dan Allahyarham Ibrahim Pendek menerusi filem Sikit Punya Gila. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya