KUALA LUMPUR: Pelawak legenda, Abdul Hamid Abdul Rahman atau Hamid Gurkha, 90, meninggal dunia kira-kira 2.19 petang hari ini.
Berita duka itu dikongsikan anaknya, Nor Ashita Hamid, sebentar tadi.
“Jenazah akan dikebumikan malam ini selepas Isyak di Tanah Perkuburan Kota Raja, Klang,” katanya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain.
Hamid merupakan pelakon prolifik yang mengecap populariti menerusi filem Panglima Badol pada tahun 1978.
Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Timah Abdul Hamid, 80, pada April 1957. Mereka dikurniakan lapan cahaya mata, namun dua daripadanya telah meninggal dunia.