PUTRAJAYA: Berkat usaha keras seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Achondroplasia membuahkan hasil selepas dia memperoleh keputusan cemerlang iaitu 7A dan 2B dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.
Nurul Hadfina Afande dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya 11(1) menyifatkan keputusan itu sebagai hadiah paling bermakna buat ibu bapa serta gurunya yang tidak pernah putus-putus membantu dan menyokongnya.
Anak kedua daripada empat adik beradik itu berkata, pandemik Covid-19 menjadi antara cabaran utama yang perlu diharungi terutama ketika mengikuti kelas secara dalam talian.
“Pandemik yang melanda sebenarnya memberi peluang kepada saya untuk banyak belajar sendiri, tapi bukanlah sampai tidak belajar langsung bersama kawan-kawan.
“Sebenarnya ketika peperiksaan percubaan saya memperoleh 9A tapi saya tetap tak sangka dengan keputusan ini kerana semasa peperiksaan SPM memang susah. Apa pun saya amat gembira dan ini merupakan hadiah kepada kedua ibu bapa, guru serta rakan yang banyak membantu dan memberi sokongan selama ini,” katanya semalam.
Sementara itu, ibunya, Noraini Baharom berkata, anaknya dilahirkan normal sebelum mereka menyedari perubahannya ketika mula belajar berjalan.
“Jadi memang dari Tahun 1 apabila dia mula bersekolah saya dan suami berikan perhatian sepenuhnya selain membantu dalam pelajaran. Hadfina juga ada beritahu dia minat mata pelajaran akaun tapi apa sahaja bidang yang akan diceburinya selepas ini memang kami sokong.
“Sebagai ibu saya juga mempunyai harapan supaya anggota masyarakat dapat menerima dan terus memberi peluang kepada Hadfina untuk berjaya pada masa akan datang,” ujarnya.

Seorang lagi pelajar, Nurina Humaira Mohd Romzan berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh adalah hasil doa dan tunjuk ajar dari ibunya yang juga merupakan seorang guru bahasa Melayu di sekolah tersebut.
Jelasnya, tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan sebenarnya selepas menerima keputusan 11A kerana menganggap ia sudah melebihi sasaran dimahukan.
“Jujur memang tak sangka langsung, pada mulanya saya hendak skor 8A atau 9A sahaja sebab ada subjek seperti Kimia, Fizik dan Matematik Tambahan yang saya tidak berapa yakin tapi apabila terima keputusan saya terus terdiam,” katanya yang berminat untuk menyambung pelajaran dalam bidang Teknologi Maklumat.

Sementara itu, bagi Amir Danish Bakri yang memperoleh keputusan 9A, dia tidak pernah kenal erti jemu atau putus asa ketika menuntut ilmu yang akhirnya menjadi pendorong dalam kejayaan yang dikecapi hari ini.
Ketika ditanya tentang resipi kejayaannya, Amir Danish berkata, dia banyak menghabiskan masa mengulang kaji pelajaran serta menjawab soalan-soalan peperiksaan SPM terdahulu untuk lebih membiasakan diri sebelum menghadapi peperiksaan sebenar.
“Ketika percubaan SPM saya dapat 7A selain ada subjek diperolehi dengan keputusan D, ketika itu memang agak kecewa tapi saya tidak putus asa malah terus melipat gandakan usaha,” ujarnya. – UTUSAN