PETALING JAYA: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin berharap agar orang ramai tidak terpedaya dengan helah pihak tertentu yang menggunakan gambar dan namanya bagi mempromosikan produk perniagaan.
Perkara tersebut dikongsikan penyanyi lagu Jerat Percintaan itu menerusi satu tangkap layar yang dimuat naik di Instastorynya.
Peringatan itu dibuat Siti selepas muncul sebuah akaun Facebook yang memanipulasi gambar dan namanya untuk tujuan tersebut.
Menurut Siti, dia berharap agar pemilik akaun itu insaf dan tidak menggunakan gambar dirinya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, bagi tujuan tersebut.
Selain itu, dia juga menegaskan agar pemilik akaun berkenaan tidak mengeluarkan sebarang artikel yang tidak benar kesahihannya.
“Jangan terpedaya. Saya harap peniaga ini insaf dan tidak menggunakan gambar saya.
“Dan suami serta membuat artikel tidak benar,” tulisnya ringkas.
Menerusi perkongsian oleh pemilik akaun tidak bertanggungjawab itu, dia telah menggunakan wajah penyanyi berkenaan dan suami tercintanya bagi mempromosi produk rambut.