Gagal jelas wang RM33,962 dalam akaun, peniaga didenda - Utusan Malaysia

Gagal jelas wang RM33,962 dalam akaun, peniaga didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga dalam talian didenda RM400 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana gagal memberi penjelasan mengenai wang RM33,962 dalam akaun banknya.

Norhaslinda Abu Bakar, 38, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan, jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memiliki RM33,962 dalam akaun CIMB miliknya dan gagal memberikan penjelasan bagaimana wang tersebut diperoleh.

Kesalahan dilakukan di sebuah pangsapuri di Cheras di sini pada 21 dan 22 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1) Akta Undang-Undang Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya.

Semasa prosiding, pelatih dalam kamar Tan Lai Joo yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan atas alasan perlu menjaga empat anak berusia 11, lapan, empat dan dua tahun.

“Anak guam saya mengaku cuai kerana beri akaun banknya kepada suami dan kini mereka dalam proses perceraian,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana wang dalam pertuduhan melibatkan puluhan ribu ringgit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya