TANJUNG MALIM: Suasana meriah majlis Anugerah Akademia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2021 atau A2U bertukar syahdu dan hening seketika ketika balu Allahyarham Prof. Dr. Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah menerima Anugerah Anumerta Akademia UPSI di sini semalam.
Isteri Allahyarham Mohamad Suhaily Yusri, Rini Shaharizah Mohamed@Ramli naik ke pentas untuk menerima anugerah tersebut pada majlis yang diadakan di UPSI di sini semalam.
Allahyarham Mohamad Suhaily Yusri merupakan pensyarah di Fakulti Sains Kemanusiaan UPSI.
Beliau yang terlibat aktif bersama ResQ Team UPSI mengalami kemalangan dan meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan melaksanakan misi bantuan di Kuala Krai, Kelantan pada tahun 2016.
Sementara itu, Fakulti Pembangunan Manusia (FPM) menguasai pelbagai anugerah pada majlis tersebut apabila berjaya merangkul tiga kategori.
FPM yang diwakili dekannya, Prof. Madya Dr. Abdul Talib Mohamed Hasim menerima Anugerah Penjanaan Kewangan Akademik, Anugerah Kecemerlangan Pasca serta Anugerah Fakulti Sejahtera yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000.
Dr. Ardzulyna Anal dari fakulti yang sama juga merangkul Anugerah Penasihat Akademik dengan hadiah wang tunai RM500.
Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, UPSI mengatur strategi dan merancang melaksanakan A2U sebagai platform untuk akademia menyertai Anugerah Akademik Negara.
“Kejayaan yang dicapai ini adalah hasil pengorbanan seluruh warga UPSI sehingga universiti mencapai kejayaan dan dikenali berkat kasih sayang terhadap UPSI,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Ir. Dr. Robiah Yunus dalam ucapannya berkata, kejayaan dicapai oleh UPSI adalah berasaskan strategi dan ’design’, malah memperlihatkan hasilnya kini.
“Akademia UPSI pernah memenangi Anugerah Akademik Negara sebelum ini dan berharap UPSI akan terus menghantar calon-calon yang terbaik dan berpotensi terutamanya yang menampilkan kaedah pengajaran yang kreatif dan berwibawa,” katanya.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof Dr Marzita Puteh; Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Seri Ahmad Burak dan Prof Dr Siti Eshah Mokshein; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar dan Pengarah Pusat Pembangunan Akademik, Prof Madya Dr Maizatul Hayati Mohamad Yatim. – UTUSAN
Sementara itu, Bahagian Hal Ehwal Akademik memenangi Anugerah Kualiti Pengurusan dan Akademik manakala Bahagian Pengurusan Kualiti memenangi Anugerah Tadbir Urus Akademik -Selain Fakulti.
Fakulti Bahasa dan Komunikasi memenangi Anugerah Graduate Employability dan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi merangkul Anugerah Pengantarabangsaan Pusat Tanggungjawab dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,000.
Fakulti Bahasa dan Komunikasi pula merangkul hadiah wang tunai RM5,000 bagi Anugerah Jabatan Terbaik apabila Jabatan Komunikasi dan Media fakulti berkenaan dinobatkan memenangi anugerah tersebut.
Empat anugerah utama iaitu kategori Anugerah Program Terbaik dimenangi oleh Fakulti Pengurusan dan Ekonomi menerusi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perkhidmatan Kewangan) Dengan Kepujian yang memenangi hadiah wang tunai RM3,000 beserta Sijil.
Anugerah Fakulti Terbaik dimenangi Fakulti Sains dan Matematik (Geran); Ts. Dr. N. Kesavan dari Fakulti Pengurusan dan Ekonomi merangkul Anugerah Inovasi PdP – (Pembelajaran Imersif Bersemuka) menerima wang tunai RM1,000 dan sijil.
Anugerah Inovasi PdP (Inovasi Pembelajaran Imersif Maya) yang disandang oleh Dr. Muhamad Hariz Muhamad Adnan dari Fakulti Seni, Komputeran & Indusri Kreatif juga menerima hadiah wang tunai RM1,000 dan sijil. – UTUSAN