ISKANDAR PUTERI: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi amaran supaya semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang baharu dilantik memikul tanggungjawab dengan berkesan dan cemerlang atau berdepan kehilangan jawatan.
Sultan Ibrahim bertitah, lantikan kepimpinan kerajaan negeri yang turut dibarisi golongan muda diharap dapat membawa idea baharu bagi pembangunan negeri Johor.
“Tahniah saya ucapkan kepada Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang telah dilantik bersandarkan kehendak rakyat yang mahukan orang muda.
“Saya telah lantik lebih 70 peratus mereka di bawah usia 50 tahun, malah ada lima Exco di bawah usia 40 tahun. Jadi, saya harap dengan gabungan Exco yang mempunyai pelbagai latar belakang pendidikan dan pengalaman akan dapat bawa kemajuan dan kecemerlangan kepada negeri Johor.
“Saya akan perhatikan dan nilai prestasi kerja setiap Exco dan saya akan buat pertukaran jika ada yang gagal pikul tugas yang telah diberi,” titah baginda semasa merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.
Baginda turut bertitah supaya sebarang pertelingkahan dan perbalahan politik dihentikan oleh kesemua pihak, khususnya 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah dipilih dalam Pilihan Raya Negeri Johor, Mac lalu.
“Tahniah diucapkan kepada semua 56 ADUN yang telah dipilih dalam PRN Johor baru-baru ini. Pada penggal ini, saya harap banyak perkara dapat dijalankan dengan mudah dan lancar kerana kerajaan mempunyai majoriti besar, namun begitu ini bukan bermakna kerajaan boleh berbuat sesuka hati kerana saya akan teliti setiap perkara yang hendak dilaksanakan.
“Saya juga berharap tidak ada lagi perebutan kuasa, hentikan semua kempen politik kerana sekarang masa bekerja dan tunaikan segala janji yang dibuat dahulu.
“Sidang DUN Johor ada peraturan yang wajib dipatuhi, jaga adab, tingkah laku dan tertib. Saya juga berharap Speaker baharu akan bertindak tegas di mana jika ada ADUN melanggar peraturan jangan teragak-agak ambil tindakan.
“Suka saya ingatkan setiap Ahli Dewan wajib hadir dalam semua persidangan kerana ini tugas sebagai Ahli Dewan, pastikan jangan ada yang ponteng,” titah baginda. – UTUSAN