MELAKA: Kerajaan negeri menegur pengusaha Restoran 35 di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini yang kisahnya tular sejak kelmarin selepas didakwa melayani pelanggan dengan kasar.
Teguran itu dibuat Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ngwe Hee Sem yang mengunjungi dan berjumpa pemilik restoran itu hari ini.
Kata Hee Sem, meskipun Melaka terkenal dengan lenggok bahasa yang agak kasar, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk bercakap semberono sehingga mencalarkan imej negeri.
Jelasnya, insiden itu tidak sepatutnya berlaku apatah lagi pelanggan yang datang menjamu selera terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat usia.
“Saya telah menasihatkan kesemua mereka yang menguruskan restoran itu untuk menjaga tutur bahasa lebih-lebih lagi kawasan ini adalah tumpuan pelancong dari luar.
“Kita tidak mahu timbul salah faham membabitkan pelancong luar sehingga mencalarkan imej Melaka, mungkin sudah memang cara bertutur mereka begitu (kasar) tetapi bukan semua boleh terima,” katanya ketika ditemui pemberita di restoran berkenaan.
Terdahulu, satu video dimuat naik pengguna Facebook, Sisyana Lashes tular sejak kelmarin memaparkan peniaga restoran berkenaan didakwa meninggikan suara dan bercakap kasar kepada keluarganya.
Mengulas lanjut, Hee Sem memberitahu, pemeriksaan lanjut di restoran tersebut mendapati, pemilik tidak melanggar mana-mana peraturan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Harga ditawarkan adalah berpatutan dan tidak membebankan dan ada memaparkan tanda harga,” katanya. – UTUSAN