Emraz sasar 100,000 jemaah umrah setahun

Emraz sasar 100,000 jemaah umrah setahun

ZULKARNAIN Endut (tengah) merasmikan Yayasan Emraz sempena ajlis Makan Malam Gala Emraz 2022 di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Emraz Travel and Tours Sdn. Bhd. (Emraz) yakin mampu mencapai sasaran 100,000 jemaah umrah setahun menjelang sambutan ulang tahun ke-10 agensi itu pada 2025.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr. Zulkarnain Endut berkata, setakat ini agensi itu sudah pun mampu mengangkut lebih 10,000 jemaah umrah sejurus pembukaan semula pintu sempadan negara pada awal Oktober tahun lepas.

“Jumlah ini sebenarnya amat besar dalam suasana dunia masih diselubungi isu pandemik Covid-19 kepada peralihan fasa endemik serta pemulihan ekonomi,” katanya kepada media selepas merasmikan Yayasan Emraz bersempena Majlis Makan Malam Gala dan Konvensyen Emraz 2022 yang berlangsung selama empat hari di Hotel Zenith di sini semalam.

 Beliau turut melancarkan tiga pakej baharu agensi berkenaan bagi musim umrah 1444 Hijrah bermula awal Ogos ini dalam usaha menarik ramai pelanggan berpotensi dari seluruh negara selain menyampaikan anugerah penghargaan kepada rakan niaga strategik termasuk Utusan Malaysia.

Agensi yang berpangkalan di Presint 8 di sini mula ditubuhkan pada 2016 lalu, dengan ketika ini telah pun mempunyai sembilan premis cawangan tetap termasuklah di Sabah dan Sarawak.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, sejak beroperasi lebih lima tahun lalu mereka membawa sekitar 20,000 jemaah ke Tanah Suci sebelum pintu sempadan ditutup pada 18 Mac 2020, namun muncul sebagai agensi pertama di Malaysia membawa jemaah sejurus pintu sempadan dibuka pada 13 Oktober tahun lepas.

“Insya-Allah, kami sasar sepanjang 1444 Hijrah (2022/2023), sejumlah 30,000 jemaah dapat dibawa dan angka itu boleh bertambah kepada 50,000 jemaah pada 1445 (2023/2024) depan,” katanya.

Bagaimanapun, bagi meningkatkan lagi kecekapan perkhidmatan, Zulkarnain berkata, kualiti sistem perisian syarikat itu akan ditambah baik untuk mengendalikan ramai jemaah serentak.

 Dalam masa sama, Emraz turut memperkenalkan tiga pakej baharu antaranya Pakej Safwah yang ditawarkan menerusi jenis gangsa, perak , emas dan platinum dengan harga berpatutan selain Pakej Cuti Sekolah dengan jenis ekonomi, standard atau premium serta Pakej Private yang meliputi jenis elit dan premium untuk pelanggan dalam bilangan lebih kecil.

Menyentuh mengenai Yayasan Emraz yang julung kali diwujudkan, beliau berkata, sebelum ini pelbagai aktiviti kebajikan dibuat secara tidak tersusun tetapi kali ini diselaraskan sistematik.

 “Yayasan ini juga menyediakan biasiswa RM60,000 seorang bagi staf yang menyambung pengajian dalam bidang industri umrah dan buat permulaan lima mutawif telah dipilih yang akan terlibat Skim Latihan Dalam Perkhidmatan dengan tajaan penuh termasuk sara diri sepanjang berada di Tanah Suci kelak. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya