PETALING JAYA: Empat maut dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) susur keluar Subang menghala ke Kelana Jaya awal pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.11 pagi dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Anggerik dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, apabila tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati kemalangan melibatkan dua Proton Wira.
“Kemalangan melibatkan lima mangsa dan empat termasuk dua wanita disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa cedera dan kesemuanya mangsa dianggarkan berusia 27 hingga 30 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, semua mangsa diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN