KANGAR: Dua lelaki termasuk seorang warden penjara berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Kangar di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah jenis heroin seberat 132 gram, 4 Jun lalu.
Mohd. Hasif Abdul Rahim,27, yang berkhidmat sebagai warden penjara di Tapah, Perak, dan Mohd. Farhan Abdul Aziz, 37, mengaku tidak bersalah dan minta dibicara bagi pertuduhan pertama dan ketiga serta menganguk tanda faham bagi pertuduhan kedua.
Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh tersebut didakwa memiliki dadah jenis ganja seberat 85.9 gram di sebuah rumah di Taman Melati, Beseri, Padang Besar kira-kira pukul 1.45 petang pada 4 Jun lalu.
Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun sehingga seumur hidup dan 10 kali sebatan.
Pertuduhan kedua pula, mereka bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis heroin seberat 132 gram pada alamat, waktu dan tarikh yang sama.
Bagi pertuduhan tersebut, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman gantung sampai mati mandatori atau penjara seumur hidup dan hendaklah dihukum sebat tidak kurang 15 sebatan jika tidak dijatuhkan hukuman mati.
Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 27 gram pada waktu, tarikh dan alamat sama.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, Inspektor Mageswaran Senderal manakala kedua-dua tertuduh diwakli peguam, Burhanudeen Abdul Wahid.
Majistret, Siti Nor Hasliza Md. Ali tidak membenarkan jaminan ke atas tertuduh dan kemudiannya menetapkan 19 Ogos depan untuk serahan laporan kimia.
Pada 5 Jun lalu, akhbar ini melaporkan dua lelaki termasuk seorang penjawat awam ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah dalam serbuan di sebuah rumah teres dua tingkat di Beseri. – UTUSAN