Dua warga emas maut, kereta jatuh gaung - Utusan Malaysia

Dua warga emas maut, kereta jatuh gaung

KEADAAN kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang remuk setelah terlibat kemalangan di Kilometer 192.6 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Gambang, di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sepasang suami isteri warga emas meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki bersama anaknya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 192.6 Lebuh Raya Pantai Timur, dekat Gambang, petang semalam.

Mangsa yang maut di lokasi kejadian, Abd. Talib Akob, 73, merupakan pesara polis manakala isterinya, Fauziah Marzuki, 62, seorang suri rumah. Kedua-duanya beralamat dari Taman Muhibbah, Jerantut.

Anak mangsa iaitu pemandu, Muhamad Taufik, 34, cedera parah di bahagian kepala manakala isterinya, Noor Syafiyana Ahmad Sobri, 32, penumpang bahagian hadapan hanya cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintenden Kamarulzaman Jusoh berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.15 petang itu hanya melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

“Kenderaan yang dipandu dari arah Kuantan yang menghala ke Jerantut itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar pembahagi jalan sebelah kiri dan masuk ke dalam gaung.

“Akibat pelanggaran tersebut, kenderaan itu remuk pada keseluruhan bahagian. Dua daripada mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati jalan adalah lurus dan mempunyai dua lorong sehala.

Jelasnya, namun keadaan ketika itu cuaca hujan lebat dan keadaan jalan adalah basah.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya