JOHOR BAHRU: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan merompak sehingga menyebabkan kecederaan seorang wanita di sebuah premis pengurup wang di bandar raya ini, dua bulan lalu.
Tertuduh, P. Sathiah, 43, dan rakannya, A. Sithambaram, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama merompak wang tunai milik Nur Syaidah Mohd. Malik bernilai S$110,000 (RM345,730).
Kejadian itu berlaku di belakang sebuah premis pengurup wang berhampiran stesen minyak Petronas Jalan Bukit Chagar, di sini pada pukul 10.10 pagi, 29 April lalu.
Atas kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, jika didapati bersalah boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurhayati Muhammad Fathullah meminta tidak ditawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan di bawah seksyen itu tidak boleh dijamin, namun mencadangkan jumlah jaminan RM20,000 setiap seorang sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara.
Peguam kedua-dua tertuduh, Syufri A. Samad dalam rayuan memohon mahkamah memberikan jaminan minimum memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan masing-masing.
“Sathiah bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,600 sebulan, menanggung isteri dan dua anak yang masih kecil manakala Sithambaram tiada pekerjaan tetap dan menanggung ibu yang mempunyai penyakit asma dan kencing manis,” katanya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan setiap tertuduh dibenarkan diikat jamin RM12,000 seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan dilarang mengganggu mangsa, melapor diri di balai polis terdekat sebulan sekali dan pasport antarabangsa perlu diserahkan.
Fatimah turut menetapkan tarikh 5 Julai untuk sebutan semula kes dan bagi penyerahan dokumen oleh kedua-dua pihak.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilaporkan berkata, kedua-dua tertuduh ditahan pada 23 Mei lalu selain turut merampas semula sejumlah wang yang disamun serta motosikal yang digunakan ketika kejadian.
Kedua-dua tertuduh turut mendatangkan kecederaan terhadap mangsa sehingga menyebabkan mangsa terpaksa mengalami 37 jahitan di bahagian tangan kirinya. – UTUSAN