PETALING JAYA: Gerakan mahasiswa mendesak kerajaan melaksanakan lima perkara bagi menyelesaikan isu kenaikan harga barang yang berlaku ketika ini.
Sehubungan itu, kerajaan digesa untuk mendengar tuntutan tersebut sebelum gerakan itu mengambil tindakan drastik untuk turun mengadakan demonstrasi di jalan raya.
“Kami menuntut pemotongan gaji menteri dan timbalan menteri kerajaan yang tidak masuk akal. Dengan jumlah Kabinet yang besar, adalah lebih baik jika para menteri menyahut tuntutan ini dan menunjukkan kebersamaan mereka bersama dengan rakyat.
“Kami menuntut agar bantuan yang bermaruah dapat diberikan kepada semua lapisan masyarakat. Bantuan sedia ada jelas tidak mencukupi dan tidak dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat akibat kenaikan harga barangan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan bersama itu disokong kira-kira 20 gabungan mahasiswa yang antaranya melibatkan Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Mengulas lanjut, gerakan itu juga menuntut agar kerajaan mengekalkan subsidi sedia ada dan tidak mengurangkan sebarang bentuk subsidi yang lain.
Katanya, ini kerana tekanan yang dahsyat bakal dirasai masyarakat jika ada lagi subsidi yang dihapuskan dan ini perlu dibendung.
“Antara cadangan kami adalah untuk meletakkan harga siling yang tepat untuk menyelesaikan isu ini seperti menetapkan harga siling bagi dedak agar harga ayam terus stabil.
“Kami juga menuntut agar pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengawal harga barangan dan makanan kafeteria dan vendor di dalam universiti kerana berlakunya peningkatan harga makanan yang mendadak,” katanya.
Tambahnya, gerakan itu juga menuntut pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah jaminan makanan (food security).
Katanya, ini kerana ia adalah masalah yang paling asas dan perlu diselesaikan agar masalah kenaikan harga barang secara drastik tidak berlaku.
“Kerajaan perlu memandang serius dan memberikan solusi jangka masa pendek dan solusi jangka masa panjang kerana ia melibatkan kelangsungan hidup rakyat!,” ujarnya.
Dalam pada itu, gerakan itu juga menyeru semua parti politik sama ada daripada pihak pembangkang mahupun pihak kerajaan turut bersama-sama untuk terus membela nasib rakyat.
“Kami selaku gerakan mahasiswa yang bukan sahaja mewakili suara mahasiswa, tetapi juga suara rakyat.
“Dengar tuntutan kami, atau kami turun! Aksi kami seterusnya akan diumumkan dalam masa terdekat,” jelasnya. – UTUSAN