Hujan lebat yang berterusan seawal petang Sabtu 11 Jun lalu sedikit pun tidak mematahkan semangat peminat-peminat yang ingin menyaksikan konsert terulung legenda rock tanah air kumpulan Search.
Memilih untuk beraksi di bumbung Kompleks Campbell, Kuala Lumpur sebenarnya cukup di luar kotak pemikiran. Namun jawapannya ada pada para rockers yang membesar di era rock kapak. Banyak nostalgia yang tersimpan di situ selain dari bangunan Kompleks Pertama yang berdekatan.
Di sinilah ‘port’ para rockers bersantai pada hujung minggu dengan menggayakan baju Eartshaker, Loudness beserta seluar ketat yang dipadankan bersama kasut Aliph dan Kamachi. Kompleks ini ibarat khutub khanah nostalgia buat mereka.
Bertemakan ‘Rockin On Rooftop’ persembahan Search cukup memukau dan tidak mengecewakan buat 3,000 penonton yang hadir walaupun ‘venuenya’ bukan bertaraf lima bintang serta berhawa dingin.
Beralaskan bumbung konkrit serta berlatar belakangkan bangunan pencakar langit, namun anggotanya, Noordin (gitar), Kid (gitar), Yan (bass), Minn (drum) dan Denden Gonjalez (penyanyi) mampu menyajikan apa yang diinginkan oleh para rockers yang hadir.
“Itulah ‘backdrop’ pentas kami. Pastinya ia memberi impak menarik terutama dari segi fotografi dan visual,” kata Noordin yang merupakan pencetus ilham untuk konsert ini.
Bermula setengah jam lewat bagi menunggu hujan reda, namun peminat tetap tidak berganjak. Membariskan 17 lagu-lagu popular seperti Fantasia Bulan Madu, Mentari Merah Di Ufuk Timur dari album pertama Cinta Buatan Malaysia (1987) sehingga album Rock ‘N’ Roll Pie (1996) kemantapan vokal Denden tidak perlu dipertikaikan lagi. Selain mampu membawakan lagu bernada tinggi, penyampaiannya juga cukup unik dengan menampilkan identiti tersendiri.
Ironinya, bukan mudah untuk menggantikan penyanyi asal yang sinonim dengan muzik yang telah diperjuangkan hampir 40 tahun ini, namun pengganti berusia 38 tahun dari Bandung ini berjaya membuktikan naskah yang berpindah tangan ini bukanlah mustahil untuk diberikan nafas baharu, rata-rata penonton yang hadir pada konsert ini pastinya bersetuju yang mana mereka cukup terhibur dengan apa yang dipersembahkan oleh penyanyi yang pernah bekerjasama dengan Inka Christine dan Judika ini.
Beralih kepada dua ikon penting yang merupakan tulang belakang kumpulan ini. Dari aspek muzik penulis boleh memberikan markah penuh buat Din dan Kid. Jika ada yang menggelarkan mereka ‘King Of Rhytm’ dan ‘King Of Tremolo’ itu adalah penilaian peminat. Adunan duo mereka cukup mantap dan membuaikan. Tidak keterlaluan jika mengatakan inilah muzik search yang sebenar. Keaslian yang sentiasa dibawa merentasi puluhan tahun.
Melihat senarai pemilihan lagu-lagu yang dibawa, kebanyakannya boleh dikategorikan sebagai killer song’ dari setiap album Search sebelum ini. jika kalian merupakan salah seorang peminat tegar kumpulan ini, tidak mungkin anda kerutkan dahi atau bertanya dengan rakan di sebelah tentang tajuk lagu atau dari album yang mana satu.
Memulakan aksi pemanas badan dengan lagu Bencana seterusnya Metropolitan, Pasti, Purnama, Melastik ke Bintang sehinggalah Teguh, kombinasi dua beradik ini dilihat cukup sempurna dan memberi impak berkesan kepada setiap lagu yang didendangkan.
Dari pengamatan penulis pemilihan lagu-lagu dari album Karisma dan Rampage adalah satu kelebihan buat mereka kerana jika dilihat bermula dari album inilah Kid dan Din memperlihatkan susunan muzik yang matang dan menyerlah.
Peranan Yan selaku pemain bass berpengalaman juga tidak mengecewakan. Pernah menjadi pemuzik undangan pada sesi rakaman album pertama Cinta Buatan Malaysia serta Rampage dan Double Trouble, langsung tidak nampak kejanggalannya. Malah petikan bassnya mampu mengimbangi setiap pukulan dan hentakan paddle drum yang dimainkan.
Jika arwah Yazit masih ada dan sihat, penulis sendiri tidak tahu di mana pilihan dan keberadaannya ketika ini. Namun penggantinya, Minn dilihat tidak mengecewakan. Beraksi bersama sebaris nama besar peranannya membantu melengkapkan kumpulan ini harus diberikan pujian, jika selepas ini dia terus diberi kepercayaan untuk bersama meneruskan legasi kumpulan hebat ini.
Pemilihan Ratu Rock Ella sebagai penyanyi undangan merupakan bonus buat peminat. Mendendangkan lagu Melayar Bahtera serta Bayangan duet bersama Denden sudah cukup membuktikan kehebatan penyanyi berusia 56 tahun ini. Kemunculan Ella bukanlah penyelamat, tetapi saling melengkapi antara satu sama lain.
Percaturan membawa beberapa anggota baharu bukanlah sekadar mencukupkan syarat untuk meneruskan legasi kumpulan ini. Jika tersilap langkah pastinya akan mengundang kritikan peminat apatah lagi nama Search ini dikongsi bersama dua kumpulan berbeza. Pastinya peminat akan membuat perbandingan dan penilaian.
Tetapi ‘kunci bunyi’ Search memang milik Kid dan din. Tiada siapa boleh menafikan kehebatan mereka. Di sinilah keaslian ‘sound’ sebenar Search, siapa yang mahu mempertikaikannya? Skill dan solo daripada mereka cukup menakjubkan. Bukan sekadar menghidupkan 17 lagu yang didendangkan, malah berjaya membawa jiwa penonton jauh terbuai kembali ke era kegemilangan mereka dahulu.
Kehadiran rakan artis dan selebriti yang datang memberi sokongan antaranya, sifu Datuk M. Nasir, Datuk Hattan, Ezad Lazim, Along Exists, Tam Spider, Neves Pretty Ugly, Andy Flop Poppy, Rahim Sepahtu sekali gus menyuntik semangat kumpulan ini untuk memberikan aksi mantap dan bertenaga.
Rata-rata mereka memuji persembahan yang ditunjukkan. Bak kata Datuk Hattan selepas berakhirnya konsert, “Sudah lama saya tidak mendengar muzik sebegini. Memang sound Search itu ada pada mereka.”
Sejujurnya penulis tidak pasti kenapa Din dan Kid selaku penggerak utama tidak memperdengarkan alunan lagu-lagu dari empat album terakhir mereka iaitu, Bikin Wilayah, Selepas Banjir, Gothik Malam Edan dan Katharsis. Adakah kerana tiada penglibatan mereka dalam album tersebut? Mungkin mereka ada jawapan dan alasan tersendiri.
Ironinya mereka telah berjaya mengharungi cabaran luar biasa ini. Selaku penonton yang hadir menyaksikan konsert pada malam itu, saya berikan markah penuh buat mereka.
Memang peminat terbahagi kepada dua kategori. Ada yang mencari keaslian sound dan ada yang meminati individu. Tidak perlu bergaduh atau bertegang urat. Tepuk dada tanya selera. Namun jika anda bertanya kepada saya, pastinya saya memilih sound yang asli kerana di situlah terletaknya kekuatan sesebuah kumpulan itu. Sekian.
Penulis ialah Ketua Unit MMTV