Curi barangan runcit RM513.10, tukang cat dipenjara, denda - Utusan Malaysia

Curi barangan runcit RM513.10, tukang cat dipenjara, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gara-gara mencuri pelbagai barangan runcit bernilai RM513.10 di sebuah pasaraya, seorang tukang cat dipenjara sehari dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini.

Yap Chong Chieh, 35, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Mohamad Fared Abdul Latif.

Tertuduh dikehendaki menjalani hukuman penjara bermula hari ini dan penjara tiga bulan lagi jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada tiga anak itu didakwa mencuri dalam bangunan antaranya pewangi, kopi, coklat dan pelitup muka berjumlah RM513.10.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah pasar raya di Kepong, di sini pada 4.20 petang, 5 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pelatih dalam kamar (PDK), Yap Hui Yee yang mewakili tertuduh merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman minimum dengan alasan dia kini insaf atas perbuatan yang dilakukan.

“Dia perlu menjaga ibunya, isteri, bersama tiga anak mereka berusia enam, empat dan setahun,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nur Diana Mohamad Saad mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.

“Ini kerana tertuduh mencuri dalam bangunan melibatkan barang-barang yang banyak serta jumlah mencecah lebih RM500,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya