PETALING JAYA: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong perlu bersikap rasional dan profesional dalam membincangkan dan mencari titik penyelesaian berhubung masalah pengangkutan awam dan kesesakan lalu lintas yang berlaku di Lembah Klang.
Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong menasihatkan Ka Siong untuk menjadi seorang pemimpin bertanggungjawab di dalam mengatasi masalah kesesakan berkenaan.
“Ini adalah fakta yang tidak dapat dinafikan. Kesesakan lalu lintas adalah nyata dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia. Satu-satunya jalan keluar untuk mengurangkan kesesakan adalah dengan mendapatkan lebih ramai rakyat Malaysia untuk beralih kepada pengangkutan awam.
“Tetapi pengangkutan awam, terutamanya bas, perlu diberi subsidi dan disediakan dengan bilangan yang mencukupi, menepati masa dan keselesaan. Jadi Menteri Pengangkutan harus tenang, profesional dan rasional kerana kesesakan lalu lintas adalah masalah semua rakyat Malaysia. Jadi mari kita buat perbincangan yang lebih rasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada baru-baru ini, Ka Siong menyifatkan Chin Tong sebagai hipokrit ekoran kritikan Ketua Pembangkang Johor itu terhadap kesesakan lalu lintas dan mengatakan PH sebagai anti pengangkutan awam.
Menurut Ka Siong, PH menghentikan adan menangguhkan beberapa projek infrastruktur pengangkutan awam mega semasa memegang tampuk kepemimpinan kerajaan Pusat.
Dalam pada itu, Chin Tong menyangkal dakwaan Ka Siong bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersikap anti pengangkutan awam dengan menyenaraikan sumbangan mereka semasa memerintah.
Jelas beliau, PH berjaya meletakkan pengangkutan awam di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan berbanding Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Pembangunan Usahawan ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.
“Malah program pas perjalanan tanpa had My50 dan My100 yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook cukup popular sehingga diteruskan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kini Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Kerajaan PH melakukan perkara yang betul mengeluarkan politik dan kronisme daripada pelesenan pengangkutan awam dengan meletakkan pengangkutan awam bawah Kementerian Pengangkutan,” jelas beliau. – UTUSAN