MELAKA: Kejayaan cemerlang seorang anak yang memperoleh 9A dan 1B dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 merupakan hadiah terindah kepada seorang ibu yang juga pesakit kanser perut tahap empat.
Siti Khajura Badros, 49, berkata, dia berbangga dengan kejayaan Muhammad Shamil Aiman Norsham, 18, meskipun tidak dapat berada kerap di sisi anaknya kerana masalah kesihatan.
Menurutnya, kesusahan hidup yang dihadapi sedikit pun tidak mematahkan semangat anak lelaki sulungnya itu untuk terus belajar demi merubah masa depan keluarga.
“Mula-mula saya disahkan kanser rahim. Selepas saya menjalani rawatan susulan, saya disahkan menghidap kanser perut pula. Masa saya banyak dihabiskan untuk berulang-alik ke Hospital Seremban, Negeri Sembilan dan Putrajaya. Saya tiada di sisi dia ketika hendak menghadapi peperiksaan. Saya kekal positif dan kuat untuk anak-anak. Alhamdulillah anak saya berjaya buktikan yang dia mampu mencatatkan keputusan baik meskipun diuji pelbagai dugaan.
“Dia ke sekolah hanya menumpang kenderaan jiran. Saya pesan kepada dia walaupun kita susah tapi rezeki itu tetap ada dan kena belajar bersungguh-sungguh,” katanya dalam sidang akhbar keputusan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rambai di sini hari ini.
Sementara itu, Muhammad Shamil Aiman memberitahu, dia tidak menyangka akan mencatatkan keputusan cemerlang, memandangkan dia hanya memperoleh 1A semasa percubaan.
Katanya, kejayaan itu dibantu oleh komitmen guru yang sentiasa memberikan bantuan selain kerap mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan secara berkumpulan.
“Saya hanya belajar sendiri di rumah dan menumpukan perhatian ketika dalam kelas. Jika ada yang tidak faham, segera bertanya kepada guru. Alhamdulillah, keputusan baik ini adalah berkat usaha guru dan rakan serta doa keluarga. Dengan keputusan ini saya harap dapat memberikan kehidupan yang lebih baik kepada ibu dan adik-beradik yang lain,” katanya. – UTUSAN