Cek kepada TSCR bukan untuk pendaftaran pengundi - Ahmad Zahid

Cek kepada TSCR bukan untuk pendaftaran pengundi – Ahmad Zahid

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dua keping cek berjumlah RM360,000 yang dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat TS Consultancy & Resources (TSCR), bukan bertujuan membantu UMNO mendaftarkan pengundi pada 2015.

Presiden UMNO itu malah menegaskan, syarikat tersebut yang menyediakan khidmat pusat latihan, ditubuhkan atas inisiatif parti berkenaan namun ia dilakukan di luar pengetahuannya.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, penubuhan TSCR tidak pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO apatah lagi dimaklumkan kepada beliau yang ketika itu Naib Presiden.

Pada sesi pemeriksaan balas, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mencadangkan kepada Ahmad Zahid bahawa beliau dikecualikan daripada mendapat maklumat berkenaan.

Bagaimanapun Ahmad Zahid menjawab, perkara itu bukan sahaja tidak pernah dibincangkan dalam MT malah beliau juga tidak pernah menerima taklimat berhubung pembiayaan UMNO kepada syarikat terlibat.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Dalam keterangannya, Presiden UMNO menyatakan beliau hanya mengetahui penubuhan TSCR pada Ogos 2015 selepas dimaklumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanpun, menurut beliau, Wan Ahmad tidak memaklumkan bahawa kedudukan kewangan syarikat itu berada dalam keadaan tenat sebaliknya meminta bantuan cek RM100,000.

Ahmad Zahid turut ditanya berhubung rayuan Wan Ahmad agar perkhidmatannya sebagai Pegawai Khas TPM disambung dan beliau turut memohon agar dinaikkan pangkat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) B kepada JUSA A.

Presiden UMNO berkata, rayuan Wan Ahmad supaya perkhidmatannya disambung dan kenaikan pangkat, dibenarkan selepas beliau berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut mengakui beliau menandatangani satu cek iaitu dana RM10 juta daripada Yayasan Akalbudi kepada Armada Holdings Sdn. Bhd. bertujuan untuk pelaburan.

Beliau menjelaskan, Ketua Pegawai Eksekutif Armada Holdings Sdn. Bhd., Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr memaklumkan syarikat itu (Armada) berhasrat untuk menjadi pembekal arang batu kepada subsidiari TNB (TNB Fuel Services Sdn Bhd).

Ujarnya, ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa menjelaskan secara terperinci mengenai caj yang dikenakan oleh TNB kepada Armada untuk mendaftar sebagai kontraktor.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin
Lawrence Sequerah bersambung esok.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya