SHAH ALAM: Petugas media, wartawan dan jurugambar mula memenuhi pekarangan Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini bagi menunggu ketibaan Samirah Muzaffar yang dituduh membunuh suaminya, Allahyarham Nazrin Hassan empat tahun lalu.
Turut kelihatan tiba sekitar pukul 7.50 pagi adalah ahli keluarga Samirah serta bekas suaminya, Nizam Mydin Bacha Mydin yang sudah pun memasuki kamar Mahkamah Tinggi kira-kira pukul 8.45 pagi tadi.
Bagaimanapun, Samirah bersama dua remaja berusia 16 dan 19 tahun yang disabitkan kesalahan bersamanya itu masih belum kelihatan.
Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, bapa Samirah yang juga Presiden Gerakan Antarabangsa untuk Dunia Keadilan (JUST), Dr. Chandra Muzaffar mendoakan anaknya itu diberi perlindungan dan keadilan dalam perbicaraannya yang disifatkan sedang berdepan dengan ujian hidup.
Samirah, 47, bersama dua remaja itu akan dibacakan keputusannya di Mahkamah Tinggi selepas perbicaraan peringkat pendakwaan menutup tirai dengan hujahan akhir pada 22 April lalu.
Mereka sebelum ini mengaku tidak bersalah pada 12 Mac 2019 atas pertuduhan membunuh Allahyarham Nazrin dekat sebuah rumah di Mutiara Damansara, Petaling Jaya antara 13 Jun 2018 pukul 11.30 malam hingga 4 pagi keesokannya.
Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34, jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Turut berhadapan tuduhan sama ialah seorang pembantu rumah warga Indonesia, Eka Wahyu Lestari yang dipercayai bersubahat dengan jenayah tersebut dan sepatutnya dituduh bersama, namun masih lagi bebas.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa, Mohd. Asnawi Abu Hanipah, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail dan Nur Sabrina Zubairi senebtara Samirah dan dua remaja itu diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Rahmat Hazlan, L.S. Leonard, S. Suresh, Savreena Kaur dan Zahria Eleena Redza