LANGKAWI: Operasi meroboh rumah penduduk Bukit Malut, di sini oleh Permodalan Kedah Berhad (PKB) yang mula bertindak sejak Isnin lalu tidak boleh dielakkan.
Namun, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, tempoh tiga bulan yang diberikan kepada penduduk di penempatan terbabit untuk mengosongkan rumah masing-masing adalah tidak mencukupi.
Kata bekas Perdana Menteri itu, tempoh berkenaan terlalu singkat untuk menyelesaikan masalah penempatan penduduk di situ.
“Ya, kita tak boleh elak nak roboh. Dia (PKB) bagi tiga bulan. Tiga bulan nak pergi duduk di mana orang itu. Tak kan nak roboh rumah dia sampai dia tak dak (tiada) tempat nak duduk.
“Jadi, kita nak kena cari jalan supaya dia boleh pindah ke satu tempat. Tetapi kerajaan perlu beri kerjasama kerana mereka memiliki tanah yang boleh diusahakan untuk membangunkan rumah agar penduduk ada tempat tinggal,” katanya.
Beliau yang ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengusaha feri Langkawi, semalam, mengulas situasi terkini di Bukit Malut selepas tujuh daripada 41 buah rumah telah dirobohkan awal minggu ini.
Selain itu, tambah Dr. Mahathir, faktor pekerjaan penduduk yang majoritinya adalah nelayan perlu dipertimbang semasa memilih kawasan penempatan baharu.
Dalam pada itu, mengenai isu perkhidmatan feri penumpang di pulau pelancongan itu, beliau turut meminta kerajaan mempertimbang pemberian subsidi kepada pengusaha feri atau menaikan harga tiket berikutan kos pengoperasian yang semakin meningkat.
Menurutnya, harga minyak diesel industri telah melambung sehingga dua kali ganda menyebabkan pihak operator feri tidak memperoleh keuntungan.
“Tahun 2007 adalah kali terakhir kenaikan (harga tiket feri). Kos operasi naik, tapi tambang tak naik. Jadi sepatutnya kerajaan timbanglah (kenaikan harga tiket feri) tapi janganlah melonjak naik sampai terus 100 peratus,” ujarnya.
Kata Dr. Mahathir, kenaikan harga tiket yang tidak terlalu tinggi masih membenarkan pelancong untuk masuk ke Langkawi dan memastikan pihak pengusaha feri tetap memperoleh keuntungan.
Tambah beliau, tiada pihak yang mahu mengendalikan operasi feri sekiranya tidak mendapat keuntungan.- UTUSAN