MARANG: Bukan sekadar mengasah kemahiran kanak-kanak bermain bola sepak tetapi turut berperanan memperkasa pendidikan pelatih menerusi program tuisyen dan fardu ain.
Itu keistimewaan dan perbezaan Kronos Tranung Soccer Aademy (KTSA) berpusat di padang awam Wakaf Dua, Bukit Payung, di sini yang mula beroperasi sejak sebulan lalu, berbanding akademi bola sepak lain.
Pengasasnya, Mohd. Yusran Mat Sharif berkata, fokus utama KTSA bertumpu kepada komuniti setempat bagi membolehkan lebih ramai anak-anak kampung menerima latihan intensif untuk menjadi pemain bola sepak profesional.
Katanya, kewujudan akademi bola sepak itu memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak-anak kerana peringkat awal usia adalah masa terbaik untuk melatih dan menyokong apa yang diminati mereka.
Ia ibarat kata pepatah ‘jika mahu melentur buluh biarlah dari rebungnya’. KTSA bukan hanya pusat latihan namun ia tempat mendapat pendidikan awal dan ilmu pengetahuan mengenai bola sepak.
“Para pelatih diajar teknik bermain bola sepak dan diberi pendedahan program latihan bersistematik. Langkah ini dapat mengasah dan mencungkil bakat, memberi pendedahan awal dan kemahiran bola sepak dalam kalangan kanak-kanak,” katanya.
Pada masa sama, katanya, akademi itu berperanan dalam memperkasa pendidikan pelatih menerusi program tuisyen dan fardu ain yang bermula tidak lama lagi.
“Kelainan yang ditampilkan sekali gus membolehkan akademi menerima kira-kira 70 pelatih hanya dalam tempoh hanya kira-kira sebulan beroperasi.
“Terengganu memiliki banyak akademi bola sepak, namun kelebihan KTSA adalah kerana fokus kita kepada komuniti yang sebelum ini tidak pernah dilakukan pihak lain di samping tumpuan kepada soal pendidikan pelatih,” katanya di sini.
Menurut Mohd. Yusran, walaupun beroperasi jauh dari bandar, sambutan diterima sangat menggalakkan khususnya dalam kalangan golongan sasar seperti di Kampung Wakaf Dua, Kampung Tasik, Kampung Tebakang, Kampung Rawai, Kampung Pak Madah dan Kampung Padang Limau Nipis di samping turut menarik minat pelatih dari daerah lain.
Katanya, daripada keseluruhan pelatih ketika ini, kelompok berusia bawah 10 tahun dikesan berbakat, malah menunjukkan peningkatan ketara selepas didedahkan dengan teknik bermain bola sepak.
Katanya, KTSA dikendalikan barisan jurulatih diiktiraf Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan berpengalaman iaitu Ahmad Yusri Omar, Mohd. Hairy Basir, Norazman Md. Rashid dan Sabri Endut di samping dipantau oleh beliau, Roshadi Wahab serta Sapian Wahid yang merupakan bekas pemain bola sepak Terengganu.
Menurutnya, hubungan baik dengan jurulatih di peringkat negeri memudahkan usaha menyediakan pelapis berpotensi besar bagi diserapkan dalam Piala Presiden dan Belia untuk pembangunan bola sepak negeri.
“Penubuhan KTSA bukan sekadar mengisi masa lapang pelatih, sebaliknya kita menanamkan minat kepada mereka untuk bergiat serius dalam bola sepak sebagai kerjaya masa depan.
“Bagi meningkatkan motivasi pelatih, kita membawa pemain seperti penyerang import TFC II, Jordan Mintah ke akademi untuk sesi perkongsian pengalaman, nasihat dan tip-tip bermain bola sepak,” katanya.
Selain latihan diadakan dua kali seminggu dan bayaran yuran sebanyak RM50 sebulan, pelatih dilengkapi insuran selama setahun.
Pengambilan pelatih baharu sesi 2022 masih terbuka khususnya bagi usia sembilan tahun ke atas dan sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi Coach Hairy (019-7027381) serta Coach Yusri (014-3223777). – UTUSAN