Bon Odori: Tunggu maklum balas berkaitan untuk tindakan lanjut - MB Selangor

Bon Odori: Tunggu maklum balas berkaitan untuk tindakan lanjut – MB Selangor

Insentif PH Selangor
AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor belum menentukan tindakan selanjutnya terhadap penganjuran sambutan festival masyarakat Jepun, Bon Odori sehingga maklum balas daripada pihak berkuasa dan pengkaji termasuk Kedutaan Jepun diperoleh.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, tiada maklumat lanjut boleh dikongsikan sama ada untuk membenarkan penganjuran program tersebut diteruskan atau sebaliknya.

“Itu saya belum dapat maklum balas lagi daripada pihak berkuasa dan pengkaji berkaitan isu penganjuran Bon Odori, saya kena dapatkan dahulu baru boleh maklumkan tindakan selanjutnya.

“Program tersebut memang tiap-tiap tahun disambut dari dahulu lagi dan 2022 bukanlah tahun pertama. Tetapi, apa-apa pun saya kena dapatkan maklum balas berkaitan dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Kelmarin, beliau berkata, kerajaan negeri memberikan ruang kepada penganut agama lain untuk menyambut perayaan sama seperti Thaipusam dan Ponggal bagi masyarakat India.

Amirudin menjelaskan, festival Bon Odori diketahui sebagai semangat dasar pandang ke timur bagi mengeratkan hubungan syarikat dan individu yang terlibat dengan Jepun.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memaklumkan, sambutan perayaan tersebut disahkan mempunyai unsur-unsur keagamaan dan bertentangan dengan Islam.

Festival itu merupakan tradisi masyarakat Jepun beragama Buddha yang mengandungi unsur pemujaan nenek moyang dan mendoakan mereka tidak menderita selepas mati.

Dalam pada itu Amirudin turut memaklumkan penganjuran sambutan Bon Odori difahami menjadi sebahagian daripada tujuan pembinaan Kompleks Sukan Negara Shah Alam atau dikenali sebagai Stadium Panasonic.

“Memang pembinaan stadium tersebut difahamkan sebahagiannya adalah bagi mereka menganjurkan Bon Odori khususnya untuk warga Jepun. Dari situ juga ada masyarakat terdiri daripada bekas-bekas pelajar yang bekerja di syarikat Jepun, itu yang difahamkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya