JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi memerintahkan pempengaruh media sosial, Noorazira Pissal membayar ganti rugi RM100,000 dan kos guaman RM30,000 kepada Suharnizan Md. Sidek yang menjadi mangsa body shaming, dua tahun lalu.
Peguam Suharnizan, Mohd. Rasheed Hassan memaklumkan, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim menetapkan keputusan tersebut dalam saman Suharnizan terhadap wanita itu yang dikenali sebagai Eira Aziera secara dalam talian pada 30 Mei lalu.
Katanya, keputusan itu dicapai setelah perbicaraan penuh dijalankan lima hari bermula 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian selepas mengambil kira semua keterangan saksi dan membaca hujahan kedua-dua pihak.
“Mahkamah juga memerintahkan Noorazira menyiarkan permohonan maaf yang jelas tanpa syarat dalam semua akaun media sosial miliknya dan hendak dikekalkan selama enam bulan daripada tarikh penyiaran.
“Selain itu mahkamah memutuskan bahawa Suharnizan melalui peguamnya telah berjaya membuktikan tuntutannya setelah kesemua elemen yang berkaitan telah dipenuhi,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera, 39, di Mahkamah Tinggi Johor Bahru yang didakwa melakukan penghinaan terhadap bentuk fizikalnya.
Media sebelum ini melaporkan pada kira-kira pukul 10 pagi, 18 Ogos 2020 Suharnizan menulis komen ‘live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?’ menerusi video secara langsung sebelum dikongsikan rakannya dalam Facebook Eira Aziera.
Eira Aziera kemudian membuat satu rakaman video dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada Suharnizan dan menyamakan bentuk tubuh individu tersebut dengan haiwan, termasuk memaparkan gambar dia dan anaknya sebelum video berkenaan tular dalam media sosial.
Tindakan wanita itu mendapat kecaman ramai sebelum Eira Aziera tampil memohon maaf atas perbuatannya dan mendakwa gagal mengawal emosi serta menjaga tutur kata sehingga menyebabkan ramai pihak tersinggung.
Namun, pada 15 September 2020, Suharnizan melalui Mohd. Rasheed mengambil keputusan membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, di sini sebelum memfailkan tuntutan saman.
Tambah Mohd. Rasheed, keputusan mahkamah juga dibuat selepas mendapati kenyataan yang ditujukan Eira Aziera dalam sesi siaran langsung tersebut jelas mempunyai unsur fitnah dan tidak memerlukan terjemahan sebagaimana dituntut peguam influencer berkenaan.
“Noorazira melalui peguam dan kenyataan tersebut jelas merujuk kepada Suharnizan yang mana nama beliau telah disebut secara terang dan berulang-ulang kali pada ketika itu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap kes tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan sesuka hati dalam media sosial sehingga tidak memikirkan kesannya. – UTUSAN