PETALING JAYA: Suami kepada pelakon Jasmin Hamid, Nazmir Abd Rahim, memaklumkan isterinya masih berada dalam pemantauan doktor selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU), Hospital Sungai Buloh, Selangor, akibat serangan jantung.
Menurut Nazmir, pelakon drama 7 Hari Mencintaiku 3 itu masih boleh berinteraksi walaupun masih dalam keadaan lemah.
“Alhamdulillah, isteri saya sedar dan masih dalam pemantauan doktor. Dia juga perlu diwadkan dalam lima hari lagi bagi untuk memantau perkembangannya.
“Kami juga boleh berinteraksi. Nak kata macam biasa, tidaklah. Tetapi Alhamdulillah, dia masih boleh bercakap. Cuma kini, ingin dia betul-betul berehat.
“Syukur Alhamdulillah juga, ketika dia diserang sakit jantung dalam jam tiga pagi, dia tidak pengsan. Masih lagi berjaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Nazmir turut berkesempatan menceritakan semula kronologi sewaktu pelakon itu diserang sakit jantung, pada pagi semalam.
Katanya, dia terlebih dahulu membawa Jasmin bagi melakukan pemeriksaan dengan lebih lanjut di klinik berhampiran kediamannya, sebelum dibawa ke Hospital.
“Pada waktu itu, semasa isteri saya sedang duduk di atas sofa di ruang tamu, dia memberitahu tiba-tiba rasa hendak pitam, dada sempit seperti kena himpap, berpeluh yang tidak normal serta kedua tangannya dan di bahagian rahang mula kebas.
“Selain itu, dia juga mengadu sakit perut. Saya ingatkan dia ingin membuang air besar atau apa. Tetapi tidak . Badannya terus berpeluh.
“Selepas itu, dia dapat rehat dalam beberapa jam sehingga pukul 10 pagi. Namun, saya rasa tidak sedap hati dan terus membawanya ke klinik sekitar Damansara, selepas Zuhur, kerana keadaannya masih tiada perubahan sebaik sahaja dia bangun,” kongsinya.
Dalam pada itu, Nazmir turut menitipkan rasa syukur kerana isterinya masih dalam keadaan yang sedar, semasa mengalami serangan jantung.
“Semasa pemeriksaan didapati graf tidak cantik. Memang ada masalah di bahagian jantung dan terus membuat surat untuk dihantar ke Hospital Sungai Buloh.
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri saya diserang penyakit ini pada masa sama dia masih kuatkan semangat dan sedar.
“Saya bimbang jika dia tiba-tiba pengsan kerana ada segelintir pesakit apabila diserang, terus jatuh atau sebaliknya,” tuturnya panjang.
Terdahulu, Nazmir dalam hantaran yang dimuat ke akaun Instagram milik Jasmin memohon orang ramai mendoakan isterinya dipanjangkan umur dan diberikan kesembuhan secepat mungkin.
Dalam hantaran itu, Nazmir berkata, tekanan darah dan degupan jantung pelakon itu agak lemah. Justeru, doktor terpaksa memberikan bantuan ubat untuk mengepam darah ke jantung.