Bengkel dilanda bah, pemilik buntu fikir motosikal pelanggan - Utusan Malaysia

Bengkel dilanda bah, pemilik buntu fikir motosikal pelanggan

MOHD. Fadhlan Jaafar menolak motosikal pelanggan selepas bengkelnya di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu, Melaka dilanda banjir kilat. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemilik bengkel motosikal terpaksa menanggung rugi kira-kira RM5,000 selepas premis perniagaannya tenggelam dalam bencana banjir kilat di Kampung Paya Rumput, Tangga Batu di sini, pagi tadi.

Menurut Mohd. Fadhlan Jaafar, 36, kejadian itu hanya disedarinya kira-kira pukul 8 pagi apabila 20 buah motosikal milik pelanggan ditenggelami air sedalam 0.8 meter.

“Saya sedar pukul 8 pagi tadi dan bengkel saya sudah dinaiki air banjir kilat, habis semua 20 buah motosikal pelanggan dalam kedai tenggelam.

“Lima daripada motosikal itu juga sudah selesai dibaiki dan sepatutnya diambil oleh pelanggan, tapi tak sangka pula berlaku bencana ini,” katanya ketika ditemui pemberita di bengkelnya di Paya Rumput di sini hari ini.

Tambahnya, dia cuba untuk menyelamatkan semua motosikal tersebut, namun paras air yang telah mencecah lutut menyebabkannya takut untuk mengambil risiko terutama ancaman haiwan berbisa.

Mohd. Fadhlan berkata, pihaknya juga terus memaklumkan kepada pelanggan mengenai bencana yang menimpa dan rata-rata pemilik memahami situasi tersebut.

“Mujur pelanggan faham dan tidak mengamuk, namun saya terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM5,000 akibat banjir kilat ini.

“Ini kali keempat saya kena tahun ini dan kejadian yang paling teruk, semalam Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) sudah korek (dalamkan) longkang, kalau tak lagi teruk rasanya,” katanya.

Tambahnya, kawasan itu kerap dilanda banjir kilat dan penduduk terpaksa menghadapi bencana itu sebanyak tujuh kali dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Tuminah Kadi ketika dihubungi berkata, pihaknya telah membuat permohonan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk membina dua sistem saliran baharu bagi menyelesaikan isu banjir kilat di kawasan itu.

“Kita telah memohon untuk bina sistem saliran baharu  di sempadan Paya Luboh ke Klebang dan antara Paya Luboh ke Kampung Bukit Berlian.

“Kos pembinaan itu akan menelan belanja kira-kira RM40 juta, namun ia akan menyelesaikan isu banjir kilat ini untuk jangka masa panjang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya