KOTA BHARU: Lebih 300,000 ahli Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) berharap kerajaan memberi elaun sara hidup bulanan RM300 hingga RM500.
Ahli Jawatankuasa PVATTBM, Kamarul Bahrin Kamaruddin berkata, keputusan pemberian elaun itu bagi memastikan bekas tentera tidak hidup melarat.
“Kita sudah mengadakan perhimpunan aman yang memohon kerajaan memberi elaun sara hidup setiap bulan kepada bekas tentera yang tidak berpencen.
“Elaun yang dipohon juga tidak tinggi apabila kita mencadangkan sebanyak RM300 hingga RM500 sebulan bagi bekas tentera yang berusia antara 60 hingga 90 tahun,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Mesyuarat Agong PVATTBM Kali Ke-4 di Kubang Kerian di sini hari ini.
Penaung PVATTBM, Datuk Seri Muhammad Abd. Ghani turut hadir merasmikan mesyuarat tersebut.
Kamarul Bahrin yang juga wakil Presiden PVATTBM berkata, ada dalam kalangan bekas tentera sudah meninggal dunia akibat menghidap penyakit kronik sekali gus tidak sempat menikmati elaun yang masih dalam pertimbangan kerajaan
Beliau berkata, pihaknya terkilan kerana kerajaan seolah-olah tidak cakna dengan pengorbanan bekas tentera atas jasa yang dilakukan sebelum ini.
Katanya, selain itu PVATTBM berharap kerajaan terus mengurniakan Pingat Jasa Malaysia kepada bekas tentera yang tidak berpencen bagi melayakkan mereka menerima elaun sebanyak RM500 sebulan.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, bekas tentera tidak berpencen di Kedah dan Johor paling ramai hidup melarat.
“Justeru, kita berharap kerajaan dapat mempercepatkan permohonan dalam usaha untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu bekas tentera yang tidak berpencen,” ujarnya.- UTUSAN