JOHOR BAHRU: Bekas pegawai bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 13 pertuduhan pecah amanah dengan memindahkan dana RM292,175 milik dua wanita ke tiga akaun berbeza termasuk akaun miliknya pada 2017 dan 2018.
Tertuduh, Nurfarhana Atiqah Mohamad, 30, membuat pengakuan terbabit selepas kesemua pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fatimah Zahari.
Mengikut empat pertuduhan, tertuduh melakukan pemindahan wang berjumlah RM93,550.74 dari akaun seorang wanita berusia 42 tahun ke akaun miliknya antara Disember 2017 dan Januari 2018.
Tertuduh yang bertugas di bahagian ‘Personal Financial Adviser’ ketika itu turut menghadapi enam pertuduhan memindahkan wang milik wanita yang sama berjumlah RM118,624.32 ke dalam akaun seorang lelaki antara April 2017 hingga Oktober 2018.
Bagi tiga pertuduhan berbeza, wanita terbabit didakwa melakukan pemindahan wang milik seorang wanita berusia 56 tahun berjumlah RM80,000 ke dalam akaun sebuah syarikat antara Oktober 2018 hingga November 2018.
Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank cawangan Skudai di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya M. Raveenaa manakala tertuduh diwakili peguam Azalea Nazihah Zulkefli.
Raveenaa mencadangkan tertuduh wanita itu diikat jamin sebanyak RM20,000 bagi semua pertuduhan.
Sementara itu, Azalea Nazihah memohon anak guamnya dikenakan jaminan yang rendah kerana wanita itu sudah tidak bekerja dan tidak mempunyai punca pendapatan selain mempunyai tanggungan anak kecil berusia setahun yang masih memerlukan penjagaan sepenuhnya.
“Anak guam saya tidak lagi bekerja dan bergantung kepada pendapatan suami yang menjalankan perniagaan cuci kereta dengan pendapatan RM3,000 sebulan. Suaminya turut menanggung ibu bapa tertuduh yang sudah tidak bekerja.
“Tertuduh menghidap penyakit ‘anxiety disorder‘ yang mana dia masih di dalam rawatan dan bergantung dengan ubat,” kata peguam tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali selain menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 3 Julai depan untuk serahan dokumen. – UTUSAN