Bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza jalani hukuman di Penjara Kajang - Utusan Malaysia

Bekas isteri Pengerusi Eksekutif Naza jalani hukuman di Penjara Kajang

Emilia Hanafi, 43 (tengah) tiba bersama penyokong di Mahkamah Syariah bagi menghadiri prosiding komital berhubung isu mengubah tarikh lawatan tiga anaknya untuk bersama bapa mereka di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, hari ini. -FOTO/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Emilia Hanafi mula menjalani hukuman penjara seminggu  hari ini selepas gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah berhubung lawatan oleh bekas suaminya, Pengerusi Eksekutif Naza World terhadap anak-anak mereka.

Emilia yang ditemani peguam syarie, Nazri Yahya menyerah diri ke pejabat polis Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur kira-kira pukul 10 pagi tadi.

Pada 4 September 2019, Emilia dikenakan hukuman penjara tersebut selepas Mahkamah Tinggi Syariah membenarkan permohonan komital difailkan SM Faisal SM Nasimuddin selepas bekas isterinya itu mengubah tarikh lawatan tanpa persetujuannya.

Wanita itu kemudian memfailkan rayuan berhubung komital di Mahkamah Rayuan Syariah di sini.

Peguam syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia berkata, rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah ditolak pada 1 Disember 2020.

“Pada tarikh tersebut, peguam yang mewakili Emilia sebelum ini telah menarik diri dan Emilia juga tidak hadir pada prosiding tersebut. Atas alasan itu, Mahkamah Rayuan Syariah telah menolak rayuannya,”kata Nazri.

Mengenai keadaan Emilia selepas dimasukkan ke lokap mahkamah, Nazri menyatakan Emilia okey.

 

Emilia okey

“Mental Emilia okey, dia sudah bersedia. Dia reda,” katanya yang turut memaklumkan Emilia akan dihantar ke Penjara Wanita Kajang.

Peguam itu juga memberitahu Emilia akan hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 6 Julai ini dalam prosiding perbicaraan Faisal yang didakwa mencederakan bekas isterinya itu.

Emilia dan Faisal berkahwin pada 2002 sebelum bercerai 2016. Hak penjagaan terhadap tiga anak mereka, Fawwaz, Faiz dan Farhan diberikan sepenuhnya pada Emilia.

Pada Jun 2018, Faisal berjaya mendapatkan perintah lawatan bermalam bagi ketiga-tiga anaknya. Namun isu pelanggaran tarikh lawatan timbul apabila Emilia didakwa telah mengubahnya tanpa persetujuan bekas suaminya itu.

Emilia melanggar perintah itu dua kali iaitu pada 6 dan 7 Oktober 2018 kerana menghadiri program keagamaan di Baling serta pada 10 Oktober iaitu pada hari lahir Faisal menyebabkan ahli perniagaan itu memfailkan permohonan komital.

Sementara itu, selepas kira-kira sejam ditahan di lokap, ibu kepada Emilia keluar dari lokap pejabat polis mahkamah sambil menangis dan mendakapmilik anaknya itu. 

Terdahulu, wanita itu diberi peluang bertemu anaknya sebelum Emilia dibawa ke Penjara Kajang.

“Kasut ni dia kena tukar pakai selipar. Lepas ini, dia (Emilia) akan terus ke (Penjara) Kajang,” katanya sambil mengelap air mata.

Ditanya keadaan Emilia, wanita berjubah hitam itu sambil mengelap air mata menjawab: “Dia tabah”.

Emilia hadir ke Mahkamah Syariah di sini ditemani ibu dan adik lelakinya serta peguamnya kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.

Menjadi contoh

Emilia ketika berjalan menuju ke pejabat polis ketika ditanya media memberitahu, dia berharap kes dihadapinya menjadi contoh supaya wanita-wanita lain akan mendapat keadilan yang sewajarnya.

Selain prosiding komital di Mahkamah Tinggi Syariah, Emilia turut dikenakan waran tangkap oleh Mahkamah Majistret di sini pada 15 Jun lalu selepas gagal hadir untuk memberi keterangan dalam perbicaraan yang dihadapi oleh bekas suaminya.

Pada 8 Jun lalu, Emilia memfailkan semakan kehakiman mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah di sini yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya kerana didakwa menghina mahkamah selepas mengubah tarikh lawatan anak-anak untuk bersama bapa mereka tanpa persetujuan Faisal.

Menurut afidavitnya, Emilia selaku pemohon menyatakan Mahkamah Tinggi Syariah tiada bidang kuasa menjatuhkan hukuman tersebut kerana dia menetap di Kajang, Selangor dan bukan di Wilayah Persekutuan.

Permohonan untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman akan didengar di Mahkamah Tinggi di sini pada 20 Julai ini di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya