KUALA LUMPUR: Sebelum sempat permohonan Queen’s Counsel (QC), Jonathan Laidlaw untuk menjadi peguan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak didengar, Hakim Mahkamah Tinggi yang sepatutnya mendengar permohonan itu telah menarik diri.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh memutuskan untuk berbuat demikian walaupun tiada sebarang permohonan untuk beliau menarik diri dikemukakan adalah disebabkan salah seorang ahli keluarganya merupakan seorang ahli politik yang aktif dalam UMNO yang juga memegang jawatan sebagai ketua bahagian parti itu di sebuah negeri di Pantai Timur.
Hakim Wan Ahmad Farid juga sebelum menjadi sebahagian daripada badan kehakiman merupakan ahli politik UMNO yang pernah bertanding dalam Pilihan Raya Umum dan sebahagian daripada Jabatan Pentadbiran Dewan Negara.
“Persepsi awam berhubung kebebasan badan kehakiman tidak boleh diletakkan dalam keadaan yang mencurigakan.
“Apabila kebebasan badan kehakiman itu hilang, maka anarki akan berkuasa.
“Kebebasan badan kehakiman perlu dilindungi dalam apa jua cara sekalipun.
“Atas alasan yang dinyatakan dan walaupun tiada sebarang permohonan daripada pihak-pihak terlibat, saya menarik diri daripada mendengar usul pemula ini,”kata Hakim Wan Ahmad Farid.
Pada 1 Jun lalu, Laidlaw melalui notis usul yang difailkan oleh firma guaman, Tetuan Shafee & Co. memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini agar beliau diterima masuk sebagai peguam bela Najib dalam rayuan akhir bekas Presiden UMNO itu membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari pada bulan Ogos untuk mendengar rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan dana syarikat itu.
Pada 8 Disember 2021, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC.
Mahkamah Persekutuan adalah rayuan terakhir Najib terhadap sabitan dan hukumannya. –UTUSAN ONLINE