durian duri hitam

Batu Kurau, Selama hab durian duri hitam

RAZMAN Zakaria (kiri) meninjau tempat pengumpulan durian milik peraih, Azmi Ismail (tengah) di Kampung Sempeneh, Batu Kurau dekat Larut semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LARUT: Selain dikenali dengan penghasilan durian kampung, kerajaan negeri mahu menjadikan kawasan Batu Kurau dan Selama di sini sebagai hab tanaman dan klon durian jenis duri hitam.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan negeri, Razman Zakaria berkata, buat masa ini seluas kira-kira 80 hektar tanah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) diusahakan dengan  tanaman pokok dan klon durian jenis duri hitam.

Menurutnya, perkara itu belum diperinci namun dalam masa sama kerajaan negeri tetap mempromosikan durian kampung yang terkenal dari Batu Kurau ke peringkat yang lebih tinggi setaraf durian jenis Musang King, Udang Merah, Black Torn, IOI dan sebagainya.

“Kita akan bincang perkara ini dengan FAMA dan Jabatan Pertanian untuk penjenamaan durian Batu Kurau ini.

“Tidak dinafikan durian kampung dari Batu Kurau ada peminatnya tersendiri berikutan harganya yang jauh lebih rendah dan mempunyai rasa yang tersendiri,”  katanya kepada pemberita  ketika membuat tinjauan pusat pengumpulan buah-buahan di Kampung Sempeneh, Batu Kurau  di sini semalam.

Mengenai penyusutan pengeluaran durian sekitar 40 peratus pada musim raja buah itu kali ini, Razman berkata, ia berikutan faktor cuaca yang tidak menentu dan sering hujan yang menyebabkan proses pendebungaan buah terganggu.

Menurutnya, bagaimanapun pengeluaran hasil durian di sini masih dapat menampung permintaan dari luar Perak dan harganya pula masih terkawal dan mampu dibeli.

“Kita menjangkakan musim durian di sini akan berakhir bulan September ini dan sehingga kini belum ada laporan mengenai masalah pengeluaran atau pasaran, semuanya lancar.

“Walau pun pada masa kini terdapat pelbagai jenis durian baru namun pekebun dan peraih durian di Batu Kurau mahu kekal sebagai pengeluar utama durian kampung yang berkualiti tinggi,” katanya.

Sementara itu, seorang peraih durian, Azmi Ismail, 57, berkata, pengeluaran durian kampung di Batu Kurau pada musim kali ini menyusut, menyebabkan dia tidak dapat mengeksport raja buah itu ke pasaran di negara China.

Menurutnya, biasanya dia dapat mengeksport buah durian ke China sekitar 10 tan metrik.

“Musim kali ini hasil durian di kawasan ini hanya untuk bekalan pasaran tempatan disebabkan penghasilan buah durian menyusut. Buah untuk musim kali ini untuk pasaran Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Terengganu,” jelasnya.

Kata Azmi, durian Batu Kurau sememangnya terkenal, walaup ia durian kampung tetapi mempunyai kualiti yang tinggi.

“Setiap kali musim, ramai luar datang ke Kampung Sempeneh untuk membeli buah di sini untuk dipasarkan di tempat masing-masing,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN