Bariatrik: Badan dari saiz XXL ke M

Bariatrik: Badan dari saiz XXL ke M

ABDULLAH Hilmee Rifin sebelum ini mempunyai berat 116kg (gambar kiri) dan turun kepada 76kg selepas enam bulan menjalani pembedahan bariatrik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembedahan bariatrik bukan sahaja mengubah bentuk fizikal seseorang, tetapi mampu meningkatkan mutu kehidupan dalam menjalani aktiviti harian seperti bersukan, bekerja dan beribadat.

Pesakit yang menggunakan perkhidmatan itu, Datuk Abdullah Hilmee Rifin berkata, prosedur tersebut membantunya dari segi peningkatan taraf kesihatan dan mutu kehidupan harian beliau.

Katanya, dahulu beliau perlu memakai saiz baju yang besar seperti XXL dengan berat 116 kilogram (kg) tetapi selepas enam bulan menjalani pembedahan tersebut, berat badannya turun sehingga 76kg yang membolehkannya memakai baju bersaiz lebih kecil.

“Ia seolah-olah kembali ke zaman sekolah menengah iaitu 10 ke 15 tahun kebelakang. Sebelum melakukan pembedahan bariatrik ni memang saya ada masalah dari segi sendi yang mana sukar untuk bergerak atau senang cedera apabila melakukan aktiviti sukan.

“Antara yang sangat memberi kesan kepada saya adalah sleep apnea, iaitu gangguan semasa tidur yang boleh menyebabkan kematian semasa tidur. Ia menjadikan tidur saya tidak nyenyak jadi apabila mahu memulakan aktiviti harian pada pagi, saya tidak bermaya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Pembedahan bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik mahupun pembuangan beberapa bahagian dalam perut. Ia seperti pintasan gastrik dan pembedahan sleeve gastrik antara penyelesaian kepada masalah obes.

Sementara itu, Laila Hafni Rusdi, 31, berkata, selepas menjalani pembedahan tersebut, dia berasa lebih sihat dan yakin dalam menghadapi kehidupan harinnya.

“Saya sangat mengesyorkan mereka yang menghadapi berat berlebihan atau masalah seperti saya, usah peduli dengan stigma masyarakat terhadap pembedahan bariatrik hanya untuk kecantikan sahaja. Lebih baik cegah perkara yang boleh menjadi punca diri menghidap penyakit kronik.

“Banyak orang kata bila kita buat pembedahan bariatrik ni hanya sebab nak berasa yakin dengan penampilan diri semula dan sebagainya. Tetapi sebenarnya, perkara utama adalah demi kesihatan, mahu menyelesaikan masalah sendi, penat serta tidur yang terganggu disebabkan berat berlebihan,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya