KUALA TERENGGANU: Selepas Kelantan, Terengganu juga akan menggerakkan kempen sama bagi menuntut pembayaran royalti minyak.
Gerakan itu akan diketuai veteran politik yang juga bapa saudara kepada Sultan Terengganu, Tengku Sri Paduka Raja Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Tengku Ibrahim berkata, buat masa ini pihaknya masih di peringkat permulaan bagi mengatur gerak kerja termasuk membentuk pertubuhan khusus bagi memperjuangkan isu berkenaan.
Katanya, persoalan utama yang akan dibangkitkan ialah penukaran nama royalti itu kepada wang ehsan atau dana khas Persekutuan.
“Royalti adalah royalti dan kenapa perlu ditukarkan namanya? Sepatutnya kerajaan Pusat balik semula kepada perjanjian asal yang ditandatangani dahulu,” katanya di sini baru-baru ini.
Pertubuhan Save Kelantan (Save Kelantan) ligat membongkarkan kepincangan kerajaan negeri Kelantan ketika ini.
Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, pertubuhan itu bersedia menjadi badan bertindak yang akan membuat semakan dan menegur berkait dengan perkara-perkara dilakukan oleh kerajaan negeri.
Dalam perkembangan lain, Tengku Ibrahim turut menegur kerajaan Pas Terengganu yang seolah-olah ‘tidur’ dan tidak melakukan sebarang pembangunan sepanjang empat tahun memerintah negeri ini.
Katanya, situasi itu amat menyedihkan dan jauh berbeza berbanding semasa ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Apa yang Pas buat sepanjang empat tahun ini? Jawapannya tiada, sedangkan rakyat mengharapkan sesuatu daripada mereka,” katanya. – UTUSAN