Bapa ‘Baby Syifaa’ tak boleh kongsi kenyataan di media sosial

Bapa ‘Baby Syifaa’ tak boleh kongsi kenyataan di media sosial

YUSERI Yusof (kanan) bersama peguam pemerhati pada prosiding inkues kes Baby Syifaa di Mahkamah Sesyen Seremban, Negeri Sembilan. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Bapa seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa atau ‘Baby Syifaa‘, Yuseri Yusof dikenakan perintah halangan oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini, hari ini untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dalam media sosial dan media berhubung kes kematian anaknya itu sehingga prosiding inkues selesai. 

Hakim Rushan Lutfi Mohamed mengeluarkan arahan tersebut selepas membenarkan permohonan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Husni Fairos Ramly dan Pegawai Pengendali inkues, Badius Zaman Ahmad.

Mahkamah turut dimaklumkan hakim koroner yang sepatutnya mengendalikan inkues itu bercuti kerana sedang berkursus. 

Pada prosiding kes, Husni membuat permohonan secara lisan bagi mendapatkan perintah halangan ke atas Yuseri yang mana ia difailkan hari ini sebelum diserahkan kepada penama. 

“Permohonan ini secara dasar untuk menghalang Yuseri membuat apa-apa komen atau perkongsian di dalam Facebook yang menyentuh peranan dan tanggungjawab mahkamah, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan prosiding inkues ini berjalan lancar.

“Sementara pendengaran inkues ini didengar di mahkamah, saya mohon satu perintah larangan sementara bagi menghalang Yuseri membuat apa-apa komen berkaitan inkues ini sehingga satu perintah dikeluarkan mahkamah,” katanya. 

Terdahulu, Yuseri hadir di mahkamah bersama isterinya untuk mendengar proses inkues tersebut bersama barisan peguam pemerhati yang mewakili keluarga mangsa iaitu Muhammad Amin Anuar dan Gaithri Thomas.

Yang hadir sama peguam pemerhati  mewakili pengasuh pusat jagaan terlibat, Noliana Ali Othman.

Dalam pada itu, Gaithri mempersoal jurugambar polis tidak dimasukkan dalam senarai saksi dikemukakan oleh pihak pendakwaan sedangkan dia adalah antara individu penting dalam prosiding inkues itu yang mengambil gambar Baby Syifaa dan tempat kejadian. 

“Kami menerima beberapa salinan senarai saksi yang mana senarai saksi pertama terdapat 28 orang dan kedua ada 10 orang. Bila diteliti senarai saksi itu, kami dapati jurugambar tiada. Saya sudah keluarkan notis kepada pihak pendakwa raya untuk memanggil jurugambar pada tarikh perbicaraan,” katanya. 

Mahkamah menetapkan 22 September, 10 November dan 17 November ini sebagai tarikh bicara.

Sementara itu, Yuseri kelihatan berang dengan keputusan mahkamah  manakala isterinya dilihat menangis ketika di luar mahkamah selepas prosiding inkues selesai.

KERATAN laporan Utusan Malaysia.

Sebelum ini, media melaporkan, Nour Rania Asyifaa, 15 bulan, ditemukan tidak sedarkan diri di dalam buaian di sebuah bilik di pusat asuhan di Taman Nusari Aman, Bandar Sri Sendayan pada 22 Februari lalu. 

Pada 30 Mac lalu, Yuseri mendakwa anaknya dijerut dan bukan meninggal dunia disebabkan kepala terjerut pada kain buaian seperti yang tular dalam media sosial Facebook dan memberi masa dua minggu kepada polis untuk mengemukakan hasil siasatan selanjutnya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya